Lebih banyak hotel di Malaysia digalak untuk membenarkan para tetamu menikmati durian di premis mereka dalam suasana yang terkawal, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, inisiatif sebegini bukan sekadar strategi pemasaran, tetapi satu bentuk penghargaan terhadap warisan kulinari tempatan, petik The Star.

Baca Juga:

“Saya berharap lebih banyak hotel di negara ini akan mengambil inisiatif membenarkan durian dibawa masuk dan dinikmati oleh para tetamu dalam suasana yang teratur, sebagai satu cara untuk menyokong dan mengangkat martabat buah tempatan kita.

“Ini lebih daripada sekadar promosi — ia merupakan satu perayaan budaya yang menjadikan sesebuah hotel sebagai destinasi yang mencerminkan identiti sebenar Malaysia.

“Orang Eropah dan Arab mungkin tidak makan durian mentah, tapi mereka tetap menikmati produk berasaskan durian — jadi kalau bukan buahnya, kita boleh tawarkan aiskrim durian,” katanya semasa merasmikan Durian Championship 2025: World Edition di Bangi Golf Resort pada Jumaat (11 Julai).

Durian Malaysia ke dunia
'Pihak Hotel Disaran Sedia Ruang Khas Untuk Tetamu Nikmati Durian' – Mat Sabu
Sumber Gambar: Facebook Mohamad Sabu

Tambah beliau lagi, usaha sebegini memerlukan kerjasama strategik antara pemilik dusun, pihak hotel dan penggiat pelancongan bagi mengangkat nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, memetik hantaran Facebook beliau berharap agar semua pihak dapat memainkan peranan untuk menjayakannya.

“Kualiti durian kita mesti konsisten. Bila orang beli durian dari Malaysia, mereka mesti tahu inilah standard emas dunia.

“Mari kita pastikan durian kita bukan sekadar buah, tapi simbol kehebatan sektor agromakanan Malaysia yang boleh dibanggakan di pentas antarabangsa,” kongsi beliau.