Tahun 2015 semakin mengakhiri penghujungnya. Ini juga petanda musim sejuk bakal melanda di negara-negara Eropah, Skandinavia dan di bahagian Amerika Utara.
Baru-baru ini HotelsCombined.com telah menghubungi Vocket sambil menyatakan hajat mereka untuk berkongsi 7 penginapan unik yang merupakan antara lokasi terbaik bagi para pemburu Aurora Borealis.
Sebelum itu mari kita kenal dulu apa itu Aurora Borealis?
Aurora Borealis adalah satu fenomena alam semula jadi yang terhasil daripada pancaran cahaya dan perlanggaran zarah bercas yang dihasilkan oleh matahari yang berlanggar dengan zarah-zarah di atmosfera bumi. Biasanya ia terjadi di kawasan medan magnet bumi sehingga menghasilkan cahaya aurora.
Aurora sering terjadi di sekitar kutub Utara dan Selatan sewaktu musim sejuk. Aurora yang terhasil di kutub Utara dikenal sebagai Aurora Borealis. Nama Aurora adalah nama Dewi Roman dan Boreas adalah Angin Utara dalam bahasa Yunani. Selain daripada itu, Aurora Borealis juga dikenali sebagai Northern Lights.
Cahaya yang dihasilkan oleh Aurora Borealis selalunya berwarna kehijauan, dan adakala berwarna kemerahan. Memburu Aurora Borealis merupakan antara bucket list para traveler.
HotelsCombined telah mendedahkan 7 hotel unik berikut yang bakal memberikan anda peluang merenung ke langit dan lihat dengan mata sendiri pemandangan indah cahaya Aurora Borealis.
Senarai ini meliputi Greenland yang merupakan lokasi paling utara di dunia sehingga ke kabin kaca berbentuk iglu di Lapland, Finland.
Jom layan.
1. Hotel Kakslauttanen, Finland
Menginap di rumah kaca berbentuk iglu di Hotel Kakslauttanen ini pastinya menjanjikan pengalaman yang sama sekali berbeza kerana anda dapat nikmati Aurora Borealis tanpa perlu menahan cuaca sejuk di luar.
Hanya perlu tunggu dari dalam kabin iglu dan dongak ke atas saja sambil melihat indahnya cahaya Aurora di langit. Sambil baring atas katil pun boleh. Bagi yang baru berkahwin, ini mungkin lokasi ideal bulan madu anda.
2. Alyeska Resort, Alaska, USA
Merupakan antara hotel yang menerima rating yang tinggi, Alyeska Resort yang terletak 40km di luar Anchorage ini dikelilingi hutan dan gunung ganang.
Kedudukannya yang terletak di pedalaman menjadikan ia lokasi terbaik untuk menikmati Aurora Borealis. Anda juga boleh minta para pekerja di hotel ini kejutkan anda untuk menonton Aurora Borealis sebaik saja ia muncul di ruang udara.
3. Hotel Arctic, Greenland
Hotel yang lokasinya di depan fjord berais ini merupakan satu lokasi yang unik. Jika di lokasi lain anda lihat Aurora Borealis di dalam hutan, Hotel Arctic di Greenland ini membolehkan anda melihat Aurora Borealis menari-nari di ruang udara di atas tasik.
Jika tak tahan sejuk dan inginkan sikit lagi kelainan, kabin berbentuk iglu dan mempunyai tingkap ini boleh dijadikan lokasi percutian anda. Setiap kabin boleh muat 2 orang. Setiap kali Aurora muncul, lihat saja dari tingkap kaca.
Baca: Kejadian Alam Semulajadi Yang Indah Ini Memikat Hati Kami Terbang Untuk Segera Ke Norway
4. Sorrisniva Igloo Hotel, Norway
Sorrisniva Igloo Hotel di Norway ini juga tidak kalah dari segi keunikannya. Hotel ini sebenarnya dibina daripada ais dan hanya dibuka untuk beberapa bulan saja.
Sebaik saja musim sejuk berakhir, hotel ini akan turut mencair. Jika anda ingin menginap di sini, pastikan anda tempah lebih awal kerana bilangan bilik yang ditawarkan amat terhad.
5. Blachford Lake Lodge, Northwest Territories, Canada
Lokasi Blachford Lake Lodge di Kanada ini pula sebenarnya agak terpencil tetapi bakal menghidangkan pemandangan menarik. Akses ke lokasi ini juga hanya boleh dilakukan melalui udara dengan menaiki pesawat kecil.
Peluang melihat Aurora Borealis di sini adalah 2 kali setahun iaitu bermula pertengahan Ogos hingga akhir September dan dari Disember hingga pertengahan April.
Anda juga boleh memilih sama ada tinggal di rumah persinggahan utama atau di kabin kecil yang menyediakan pemandangan tasik yang indah sambil menghangatkan badan di tepi unggun api, seperti mana yang sering dilakukan oleh penduduk tempatan di sini.
6. Ion Hotel, Iceland
Perjalanan ke hotel ini mengambil masa selama sejam berkereta dan sebaik saja tiba anda akan dihidangkan dengan pemandangan gunung ganang yang indah.
Ion Hotel merupakan satu lagi lokasi untuk anda jadikan sebagai base untuk meneroka keunikan Iceland.
Apatah lagi dengan tingkap kaca besar yang sengaja dibina dari lantai ke siling hotel agar anda dapat menikmati Aurora Borealis dalam suasana hangat dan selesa tanpa halangan.
7. Lyngen Lodge, Norway
Terletak di lokasi yang tinggi iaitu di Arctic Circle, Lyngen Lodge hanya menerima tetamu seramai 18 orang saja pada satu-satu masa.
Tak kira betapa sejuknya suhu di luar, anda akan kekal hangat sewaktu menginap di sini yang menyediakan pemanas geothermic heating, sauna dan juga tapak unggun api yang besar di ruang utama.
Bukan itu saja, anda juga berpeluang menikmati Northern Lights sewaktu berendam di Jakuzi. Memang satu pengalaman yang berbeza sekali.
Carian hotel lain yang mungkin terletak berhampiran dengan lokasi di atas juga boleh dilakukan di HotelsCombined.my sekiranya anda bercadang untuk melihat cahaya utara (northern lights) ini di waktu terdekat.
Selamat memburu Aurora Borealis!
Baca lagi: 8 Fakta Menarik Tentang Aurora Borealis Yang Mungkin Anda Belum Tahu