Hospital Sultanah Aminah yang mula beroperasi pada tahun 1882 adalah sebuah hospital kerajaan yang terletak di Johor Bahru. Pada awal operasinya, ia dikenali sebagai Hospital Besar Johor Bahru dan hanya dilengkapi dengan satu wad. Pertambahan unit, fasiliti dan bangunan dibuat secara berkala.
Bangunan baru telah didirikan antara tahun 1938 sehingga 1941 untuk menanggung beban jumlah pesakit yang semakin bertambah. Bangunan berwarna merah bata ini dikenali sebagai bangunan induk. Ia menjadikannya satu-satunya hospital yang berwarna merah di negara ini.
Pada era itu, Hospital Sultanah Aminah merupakan sebuah hospital moden yang mempunyai fasiliti yang lengkap. Antaranya unit yang menjadikan hospital ini terkenal dan gah pada era 70-an adalah Unit Rawatan Rapi(ICU).
Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah adalah unit rawatan rapi pertama di Malaysia yang dibangunkan untuk sektor awam. Unit tersebut telah dibuka secara rasmi pada 3 Februari 1969, oleh Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Ketika pembukaannya, operasi unit ini diketuai oleh Dato’ Dr T. Sachithanandan, ketua perkhidmatan Anaesthesiologi Johor ketika itu.
Susulan pembukaan ICU ini, hospital-hospital kerajaan di negeri lain mula membina fasiliti unit rawatan terapi dan menjadikan unit rawatan rapi Hospital Sultanah Aminah sebagai model tanda aras. Mulai itu, jumlah unit ini terus berkembang dan sehingga 2013, dilaporkan terdapat lebih 600 katil unit rawatan rapi yang beroperasi di 49 hospital kerajaan di seluruh negara.
Kini, Hospital Sultanah Aminah adalah sebagai hospital rujukan utama bagi negeri Johor. Ia menyediakan 21 perkhidmatan klinikal, 9 perkhidmatan sokongan klinikal dan 5 perkhidmatan sokongan bukan klinikal dan 7 unit di bawah Pengurusan Hospital Sultanah Aminah.
Berita tentang kebakaran ICU Selatan, Hospital Sultanah Aminah pada 25 Oktober 2016 adalah berita yang amat mendukacitakan. Tragedi ini akan meninggalkan kesan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
Semoga ini menjadi nahas terakhir di unit ICU yang mempunyai sejarah yang besar dalam perkembangan awal perkhidmatan rawatan rapi di Malaysia.
Elak sebarkan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya. Nantikan laporan rasmi daripada pihak autoriti.
Salam takziah.
Nota: Saya lahir di Hospital Sultanah Aminah.
BACA: Wad Pesakit Kritikal Hospital Sultanah Aminah Terbakar, Enam Daripada Tujuh Pesakit Maut