Penyerang import, Tchetche Kipre melaungkan keyakinan Kuching City FC mampu memberikan saingan terbaik dalam musim baharu Liga Malaysia 2024-2025.

Pemain kelahiran Ivory Coast itu mengakui tidak mudah untuk mengalas harapan yang diberikan kepadanya namun beliau berharap dapat memberikan impak dalam misi pasukan mendapat kedudukan lebih baik berbanding musim lalu di mana Kuching City sekadar menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-13.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Jelasnya, skuad Kuching City kendalian Aidil Sharin Sahak pada kali ini nampak lebih bersedia apabila berjaya menyambar beberapa pemain baharu bagi menguatkan pasukan.

“Skuad ini sudah bertambah baik, terdapat beberapa pemain baharu dan semestinya kehadiran kami untuk menyumbang lebih banyak kepada pasukan ini.”

“Saya tahu ini tidak akan menjadi suatu perkara yang mudah, dan di dalam bola sepak tidak akan ada janji. Namun kami akan mencuba,” katanya.

Kipre turut mengakui, hubungan baiknya bersama Aidil Sharin menjadi faktor mengapa dia tidak berfikir panjang untuk menyertai skuad The Cats yang muncul naib juara Challenge Cup musim lalu selepas tewas di final kepada PDRM FC.

“Saya sangat senang dapat berkerja dengan beliau lagi, kerana saya tahu cara beliau bekerja, taktikalnya sewaktu bersama Kedah dan saya mengharapkan semuanya berjalan dengan baik untuk musim hadapan,” katanya.

Kipre juga mengakui amat gembira untuk berada dan bermain di negara ini lagi setelah menyaksikan cara permainanan dan perkembangan setiap kelab di negara ini semakin berkembang.

“Setelah hampir lapan musim di Malaysia, pertandingan dan teknik setiap pemain dalam negara ini berkembang setiap hari sejak hari pertama saya bermain di sini,” tambah beliau.

Dia yang pernah beraksi dengan pasukan Kedah FC sebelum ini juga berharap semua penyokong Kuching City dapat bersama-sama hadir ke stadium pada musim akan datang dan memberikan sokongan kepada kelab ini.