Trend memelihara Marble Fox kini semakin mendapat tempat di hati peminat haiwan eksotik di Malaysia yang ingin mencari kelainan.
Oleh kerana ia merupakan haiwan ‘baharu’ di negara ini, membela rubah itu menjadi pertikaian netizen sama ada ia mempunyai hukum sama seperti seekor anjing.
Menerusi perkongsian Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Marble Fox tidak sama dengan anjing.
Perbezaan antara Marble Fox dengan anjing
“Menurut penjelasan Dar Ifta Misriah (Lembaga Fatwa Mesir), anjing ditakrifkan sebagai haiwan yang menyalak.
“Tidak kisahlah ia anjing comel bersaiz kecil atau besar, asalkan asal-usulnya anjing, hukumnya tetap sama.
“Sebaliknya, haiwan liar yang tidak menyalak, walaupun rupanya ‘sebiji’ macam anjing, ia tidak dikategorikan sebagai anjing, Oleh itu, serigala dan rubah sama sekali tidak berkongsi hukum najis yang sama dengan rakan berbulu mereka itu,” petik hantaran Facebook itu.
Hukum antara rubah dan anjing berbeza atas beberapa sebab kukuh; kedua-dua haiwan tersebut bukanlah hasil kacukan atau baka keturunan anjing.
Pada masa sama tiada nas atau dalil agama khusus yang menyatakan mereka berstatus najis berat. Sebaliknya nas agama hanya menyebut hukum untuk anjing dan jenis-jenisnya secara spesifik.
“Kesimpulannya, serigala dan rubah (termasuklah si cantik Marble Fox) yang masih hidup adalah suci dan boleh dipegang tanpa rasa was-was,” tambahnya lagi.
Cara cucian kotoran Marble Fox
Sementara itu, kotoran buangan atau bangkai rubah tergolong sebagai najis mutawassithah (najis sederhana).
Cara cuciannya yang mudah dengan membasuh kotoran dengan air mutlak sehingga hilang sifat najis tersebut dari segi rupa, bau, dan rasanya.