“Bro, pek kali ini aku rasa macam ada kad ‘rare’ lah. Cuba kau koyak tengok!”

Bagi peminat tegar permainan kad koleksi seperti Pokemon, debaran sewaktu membuka bungkusan tertutup atau ‘booster pack’ memang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Ada yang sanggup berhabis ratusan malah ribuan ringgit demi memburu sekeping kad rare yang nilainya boleh melambung tinggi di pasaran pengumpul.

Namun di sebalik keterujaan hobi yang semakin menjadi fenomena ini, timbul persoalan besar dalam kalangan masyarakat Islam mengenai status hukum pembelian pek rawak sebegini.

Teguran Tegas Buat Pemburu Kad Rare

Menjawab keresahan tersebut, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga mantan Senator, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberikan pencerahan tuntas menerusi satu bebenang di platform Threads miliknya.

Hantaran bertajuk “PEMBURU KAD ‘RARE’ Pokémon DAN SEMISALNYA” itu pantas mencuri perhatian warga maya sehingga meraih lebih 378,000 tontonan serta ribuan tanda suka dan perkongsian semula.

Menerusi perkongsian tersebut, beliau membuka perbincangan dengan satu persoalan utama yang sering bermain di fikiran para pengumpul, “Apa hukum membeli sepaket kad Pokemon yang terdapat kad ‘rare’ di dalamnya?”.

Tiga Garis Panduan Utama Dalam Jual Beli Kad

Bagi memudahkan pemahaman orang ramai, Dato’ Seri Dr. Zulkifli memperincikan hukum transaksi tersebut kepada tiga keadaan berbeza bergantung kepada nilai kad dan tujuan pembelian dibuat.

Pertama, sekiranya nilai kad yang terkandung di dalam pek tersebut adalah hampir sama, unsur ketidakpastian yang wujud dianggap sebagai kecil atau dikenali sebagai gharar yasir, dan perkara ini dimaafkan dalam syarak.

Kedua, situasi berubah jika wujud jurang nilai yang ketara antara kandungan pek tersebut.

Beliau menjelaskan, “Jika terdapat perbezaan harga yang sangat ketara antara kad biasa dengan kad rare, sedangkan pembelian dibuat untuk mencuba nasib mendapatkan kad mahal, ia boleh mengandungi unsur gharar fahish (ketidakpastian besar) dan judi (maisir). Maka ia dilarang dalam urusan jual beli.”.

Ketiga, beliau turut menegaskan bahawa alasan minat semata-mata tidak menghalalkan cara sekiranya konsep pertaruhan nasib menjadi asas transaksi.

“Sekiranya struktur transaksi benar-benar berasaskan pertaruhan nasib untuk memperoleh keuntungan, maka hukumnya haram walaupun pembeli mendakwa pembelian tersebut sekadar hobi,” tegas beliau lagi.

Reaksi Warga Maya Dan Rujukan Lanjut

Perkongsian ringkas tetapi padat itu ternyata membuka mata ramai pengumpul serta pengguna media sosial yang mengikuti akaun beliau.

Di ruangan perkongsian semula, ramai warganet menyambut baik penjelasan tersebut dengan reaksi ringkas seperti “Jelas…” daripada pengguna bernama afifcollective, selain ada yang meluahkan kesedaran bahawa budaya membeli berasaskan nasib ini telah lama dinormalisasikan dalam gaya hidup moden.

Bagi mereka yang ingin mendalami perbahasan fiqh berkaitan isu ini secara lebih terperinci, Dato’ Seri Dr. Zulkifli turut memaklumkan bahawa penjelasan lanjut telah disediakan menerusi artikel penuh di aplikasi Al-Inarah melalui pautan rasmi al-inarah.com.

Pencerahan sebegini menjadi peringatan bermakna buat para peminat hobi koleksi agar sentiasa meneliti aspek halal dan haram dalam setiap urusan jual beli, supaya minat yang diceburi kekal berkat dan tidak terjerumus ke dalam unsur perjudian tanpa disedari.