Bagi sesiapa yang pernah ditegur ibu bapa suatu ketika dahulu kerana membazir wang membeli kad permainan, kisah ini mungkin membuatkan ramai menghela nafas panjang dan berharap mereka tidak membuang koleksi lama tersebut.
Seorang pesara tukang hias dari Woking, United Kingdom (UK), dilaporkan bergelar jutawan segera selepas koleksi kad Pokémon miliknya berjaya dilelong pada harga mencecah £1.56 juta, iaitu sekitar RM8.5 juta.
Lelaki yang enggan mendedahkan namanya itu mula tertarik dengan fenomena kad Pokémon pada penghujung tahun 1990-an, sewaktu anak lelakinya mula rancak mengumpul dan bertukar kad bersama rakan-rakan di sekolah.
Terpukau dengan kehalusan seni ilustrasi pada setiap kepingan kad tersebut, beliau mengambil langkah berani untuk membeli beberapa set lengkap sebagai pelaburan masa hadapan, sambil memastikan koleksi itu langsung tidak disentuh oleh anaknya demi menjaga kondisinya.
Khazanah tersimpan 15 tahun di ruang loteng
Keputusan tegas itu ternyata membuahkan hasil luar biasa. Selepas minat anaknya terhadap siri animasi itu pudar seiring usia, sebanyak 42 set lengkap yang disimpan rapi di dalam album khas Pokémon dipindahkan ke ruang loteng rumah dan terbiar begitu sahaja selama 15 tahun.
“Ramai orang selalu bercakap tentang mencari harta karun di loteng rumah, tetapi dalam situasi saya, ia benar-benar berlaku. Anak saya ada koleksi kad dia sendiri, tetapi dia tidak pernah dibenarkan menyentuh set ini, dan saya sangat bersyukur dengan keputusan itu,” kongsinya kepada BBC.
Kesedaran mengenai nilai sebenar koleksi tersebut hanya timbul selepas beliau terbaca laporan akhbar tempatan mengenai sekeping kad Pokémon yang berjaya dijual melebihi nilai £6,000 (kira-kira RM33,000).
Menyedari bahawa apa yang tersimpan di atas bumbung rumahnya mungkin bernilai tinggi, beliau segera mendapatkan penilaian profesional.
Tuah pembelian dari Malaysia bawa pulangan ratusan ribu ringgit
Menariknya, pesara terbabit mendedahkan kepada BBC bahawa ketika mengumpul dahulu, beliau pernah membeli beberapa set lengkap yang masih berbalut rapi daripada seorang penjual di Malaysia menerusi platform eBay.
Keputusan membeli dari Malaysia itu bertukar menjadi durian runtuh. Salah satu set lengkap yang dibelinya dengan harga sekitar £300 (kira-kira RM1,630) pada waktu itu telah mencetuskan bidaan sengit sehingga terjual pada harga mengejutkan iaitu £75,000 (kira-kira RM408,000).
Koleksi paling mendapat sambutan hangat pada acara lelongan berkenaan ialah Legendary Collection Complete Master Set yang memuatkan kad watak ikonik Charizard dalam keadaan hampir sempurna.
Pada asalnya dinilai sekitar £15,000 hingga £20,000, persaingan sengit antara pembida akhirnya melonjakkan harga jualan lot tersebut sehingga mencecah £100,000 (kira-kira RM544,000).
Rekod lelongan terbesar dan kuasa nostalgia
Rumah lelongan terkemuka, Ewbank’s, mengesahkan bahawa transaksi tersebut mencatatkan rekod sebagai jualan lelongan kad dagangan paling bernilai dalam sejarah UK, malah berpotensi memegang rekod tertinggi di seluruh Eropah.
“Bila kami melihat sendiri apa yang dia bawa dan semuanya berada dalam kondisi yang sangat sempurna, kami hampir tidak percaya. Masing-masing ternganga melihat nilainya,” kata James Spooner, Ketua Bahagian Kad Dagangan di Ewbank’s.
Mengulas mengenai fenomena tersebut, ketua jurulelong Ewbank’s, Andrew Ewbank, menjelaskan bahawa pasaran kad Pokémon kini sedang mengalami lonjakan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Menurut beliau, faktor pendorong utama adalah kebangkitan golongan dewasa berusia 30-an dan 40-an yang mempunyai kuasa beli serta berhasrat mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak mereka.
Beliau turut menyarankan orang ramai supaya memeriksa semula bilik stor atau sudut rumah masing-masing, kerana tidak mustahil barang permainan yang dianggap usang suatu ketika dahulu kini bernilai seperti jongkong emas.