Bagi peminat dunia automotif, pasti anda tahu tentang kewujudan kereta elektrik premium daripada BYD, iaitu Yangwang U9.
Kereta yang terkenal dengan kebolehan ‘melompat’ dan ‘menari’ ini akhirnya menjejakkan ‘tayar’ ke bumi Malaysia.
Baru-baru ini, tular gambar dan video jentera luar biasa ini berada di utara tanah air.
Rupa-rupanya, ia adalah sebahagian daripada siri ‘YANGWANG U9 China-Malaysia Tour’.
Selaku wakil rasmi BYD Malaysia di wilayah utara, BYD Alor Setar – Hong Thai Motor telah diamanahkan untuk menyambut ketibaan konvoi berkenaan sebaik sahaja mereka melintasi sempadan Malaysia–Thailand.
Sambutan Rasmi Di Pintu Sempadan
Bagi melancarkan pergerakan krew konvoi sepanjang berada di negara ini, pihak BYD Alor Setar telah menyerahkan buku panduan aluan (welcome guidebook) serta kad Touch ‘n Go sebagai simbolik sambutan mesra serta kemudahan untuk perjalanan mereka merentasi lebuh raya Malaysia.
“Kami amat berbangga kerana diberi kepercayaan untuk memainkan peranan dalam perjalanan merentas sempadan yang bersejarah ini. Ini merupakan satu peluang keemasan untuk kami menzahirkan hospitaliti Malaysia kepada pasukan konvoi yang bakal meneruskan kembara mereka ke seluruh pelusuk negara,” kata BYD Alor Setar-Hong Thai Motor.
Selain model Yangwang U9, konvoi berkenaan turut diiringi oleh model SUV mewah Yangwang U8.
Pengalaman Sekali Seumur Hidup
Dalam perkembangan sama, pengurusan dan kakitangan BYD Alor Setar-Hong Thai Motor turut menzahirkan rasa kagum apabila diberi peluang keemasan untuk menaiki dan merasai sendiri pengalaman pemanduan Yangwang U9.
“Dapat melihat dan merasai sendiri kehebatan jentera ini merupakan satu impian yang menjadi kenyataan bagi kami. Kualiti pertukangan yang halus, perincian yang teliti, serta impak visual jentera ini di atas jalan raya adalah sesuatu yang amat mengagumkan,” tambah kenyataan itu lagi.
Siri jelajah konvoi ini dijangka bakal meneruskan perjalanan ke beberapa destinasi utama di seluruh Malaysia.