Hari pertama pengoperasian Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) pastinya menjadi detik yang paling dinantikan oleh penduduk di sekitar Lembah Klang.
Namun bagi seorang pemuda bernama Emir Irfan Mohd Zufri, hari bersejarah itu hadir bersama satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Ada rasa bangga yang mengalir, dan dalam masa yang sama, ada kerinduan yang mendalam terhadap insan yang paling dihormatinya.
Kisah Emir mula menjadi bualan hangat di platform Threads apabila dia berkongsi dua keping gambar yang penuh dengan nilai sentimental.
Gambar tersebut memaparkan kebetulan yang indah antara dirinya dan Allahyarham bapanya, Zufri Mahmud, yang kedua-duanya duduk di kerusi penumpang tren dalam era yang berbeza.
Satu Gambar Dua Generasi Berbeza
Dalam perkongsian tersebut, arwah bapanya dilihat sedang duduk di kerusi penumpang Vancouver Skytrain di Kanada pada tahun 1997 ketika mengikuti latihan industri.
Manakala Emir pula berada dalam posisi yang hampir sama, sedang duduk di kerusi penumpang ketika mengikuti sesi ujian dan pentauliahan tren LRT3 Laluan Shah Alam baru-baru ini.
Pemuda berusia 32 tahun ini mengakui bahawa perkongsian itu sekadar untuk mengimbas kembali memori lama dan dia sama sekali tidak menyangka akan mengikut jejak langkah bapanya dalam dunia pengangkutan rel.
Sebenarnya, saya lebih cenderung dalam bidang automotif pada mulanya. Namun, sudah rezeki saya untuk bekerja dalam bidang yang sama dengan abah, jadi saya teruskan sahaja, kata Emir yang kini bertugas sebagai jurutera penyelenggaraan di Prasarana Malaysia Berhad.
Ralat Yang Tinggal Di Sudut Hati
Walaupun gembira dapat menyambung legasi yang ditinggalkan, terselit satu kekecewaan yang murni di sudut hati Emir. Bapanya telah menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember 2024 akibat barah usus.
Kehilangan itu membuatkan bapanya tidak sempat untuk melihat projek impian ini siap sepenuhnya.
Menurut Emir, bapanya sempat terlibat dalam fasa awal projek LRT3 sebelum bersara pada tahun 2021. Malah, ketika tahap kesihatannya semakin merosot, bapanya sering bertanya tentang perkembangan terkini projek berkenaan.
Sayangnya arwah abah meninggal dunia dahulu. Jadi abah tak sempat tengok LRT3 siap sepenuhnya walaupun dia terlibat masa awal projek, malah kerap bertanya perkembangan projek ketika hayatnya, luah Emir mengimbas kembali perbualan bersama bapanya.
Memori Kecil Tentang Tren Tanpa Pemandu
Emir baru berusia tiga tahun ketika bapanya mengikuti latihan untuk projek LRT2 dahulu. Walaupun masih terlalu kecil untuk memahami skop kerja seorang jurutera, beberapa memori perbualan mereka tetap segar dalam ingatan sehingga ke hari ini.
Kata Emir, bapanya bukan seorang yang suka mengeluh atau bercerita tentang tekanan di tempat kerja. Sebaliknya, bapanya lebih suka berkongsi keterujaan tentang teknologi masa hadapan kepada anak kecilnya.
Abah jarang bercerita hal kerja, cuma banyak cerita berkaitan model tren, apa tren baru yang akan digunakan dan bagaimana tren boleh bergerak tanpa pemandu, kenang Emir sambil tersenyum.
Bapanya juga pernah bercerita tentang pengalaman mendebarkan menghadiri temuduga kerja bagi projek LRT2 yang mana majoriti panel penilainya merupakan warga asing.
Tanggungjawab Fardu Kifayah Demi Orang Kampung
Bagi Emir, penglibatannya dalam projek LRT3 Laluan Shah Alam ini membawa makna yang sangat besar. Selain daripada tanggungjawab kerjaya, ia merupakan satu peluang untuk dia berbakti kepada komuniti tempat kelahirannya sendiri.
Pembabitan dalam projek LRT3 juga menyeronokkan kerana dapat berkhidmat untuk orang kampung sendiri kerana saya juga berasal dari sini. Ibarat fardu kifayah kerana projek ini memudahkan orang ramai dan menaikkan ekonomi negara, jelasnya.
Antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan oleh Emir sepanjang menyertai projek ini adalah menyaksikan bagaimana pasukan pengurusan berkembang dengan pesat.
Bermula daripada sebuah bilik mesyuarat kecil yang hanya menempatkan beberapa orang, kini projek tersebut telah menggerakkan ratusan tenaga kerja yang komited demi memastikan operasi laluan berjalan lancar.
Titipan Doa Warganet Sebagai Pengubat Rindu
Perkongsian Emir yang menyentuh hati itu bukan sahaja mendapat perhatian, malah dihujani dengan pelbagai kata-kata semangat dan doa daripada warganet.
Ramai yang menyifatkan sumbangan bapanya dan Emir sendiri sebagai satu jasa besar kepada sistem pengangkutan awam negara.
Emir melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas kebaikan orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan arwah bapanya serta keluarga mereka.
Terima kasih juga kepada warganet kerana ramai mendoakan kesejahteraan arwah abah dan juga saya sekeluarga. Mereka juga mendoakan semoga sumbangan arwah abah terhadap pengangkutan awam menjadi asbab untuk ke jannah, katanya.
Sebagai seorang anak, Emir bertekad untuk melakukan yang terbaik demi meneruskan legasi profesional bapanya. Besar harapannya agar segala usaha ini menjadi sebuah memori indah yang akan mempertemukan mereka sekeluarga kembali di sana nanti.