Rupanya ada lagi peniaga nasi lemak yang mementingkan keuntungan semata-mata dengan caj RM4, tanpa menghiraukan kualiti makanan yang dijual.

Menurut mStar, seorang pelanggan berkongsi cerita di laman sosial Facebook mengenai pengalaman kecewanya membeli nasi lemak berharga RM4 di sebuah gerai.

Beliau merasakan nasi lemak yang dibeli tidak berbaloi dengan harga yang ditetapkan.

“Kisah lucu di pagi hari, niat nak support peniaga kecil tapi ini balasan yang saya dapat? RM4 dapat ikan bilis tiga ekor, kacang sebiji setengah, dua hirisan timun, telur rebus tiada langsung. Minta sambal nasi lemak tak ada, katanya nasi lemak dia ‘versi lain’ jadi terpaksa minta sambal dari lauk yang lain,” luahnya.

Menurut pelanggan tersebut, dia sebenarnya sering membeli di gerai kegemarannya, Abang Mat.

Namun, pada hari tersebut, dia terpanggil untuk membeli di gerai berbeza bagi membantu peniaga lain.

Lebih membuatkan dia kesal apabila telur mata dijual pada harga RM2, menjadikan harga nasi lemak lebih mahal iaitu RM6.

“Ya tahu harga barang mentah naik, terpaksa naikkan harga jualan tapi takkan la jual nasi lemak tak lengkap. Sampai sambal tak ada, telur rebus pun tak ada walaupun secebis. Mahal tak apa kalau lengkap segalanya, tapi ini nasi lemak tak lengkap itu yang agak kecewa,” jelasnya.

Walaupun kecewa dengan servis makanan yang dijual, dia tetap mendoakan penjual terbabit terus berjaya dalam dunia perniagaan.

Melewati ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa kecewa dengan sesetengah peniaga yang mengambil ringan kepuasan pelanggan.

Ada yang berpendapat bahawa peniaga kedekut tidak memikirkan bahawa memberi lebih kacang, ikan bilis, dan sambal boleh membuat pelanggan gembira dan kembali membeli.

Pelanggan itu bagaimanapun tidak menyatakan nama dan lokasi gerai nasi lemak yang dibelinya itu.