Boleh dikatakan majoriti syarikat lokal di luar sana mengambil kesempatan untuk meraih pelanggan baharu dengan teknik pemasaran yang agresif selepas warga tempatan lancarkan kempen boikot terhadap syarikat berkait dengan rejim zionis Israel.
Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung sebuah gambar yang memaparkan teknik marketing yang cukup kreatif dilakukan oleh jenama Bask Bear Coffee di tengah ibu kota Kuala Lumpur.
Apa yang menarik perhatian adalah pemilihan lokasi serta kandungan iklan yang dipaparkan dianggap genius dan agresif oleh orang ramai.
Hal ini kerana lokasi papan iklan yang dipilih betul-betul berada di atas pesaing terbesarnya iaitu McDonalds dan juga kandungan visual serta ayat sinis yang dilontarkan berjaya meraih perhatian ramai.
Bask Bear Coffee dilihat sengaja meletakkan review yang provokaktif dan menggunakan nama karakter fiksyen pesaingnya sebagai pelanggan yang berpuas hati dengan produk mereka. Konsep iklan juga diinspirasikan daripada pesaingnya sekaligus kelihatan seperti mereka pula yang mempromosikan produk Bask Bear.
“Burger Bask Bear lebih bagus ujar Ronald (pelanggan Bask Bear yang gembira),” tulis pada papan iklan tersebut.
Penularan gambar iklan berkenaan di media sosial telah meraih perhatian netizen dan rata-ratanya memuji pendekatan publisiti yang diambil oleh Bask Bear dalam memasarkan jenama mereka malah berpeluang meraih pelanggan baharu menerusinya.
Malah, ramai yang berpendapat Bask Bear sememangnya berani mengambil risiko untuk bersaing dengan agresif di gelanggang ‘musuhnya’.