Pernah tak bila keluar makan dengan kawan atau pelancong asing, anda selamba jawab “Ikut hanglah” atau “Up to you” bila ditanya nak makan apa? Bagi kita di Malaysia, jawapan itu tanda hormat, tak mahu memaksa dan beri ruang untuk orang lain pilih apa yang mereka selesa.
Namun, satu hantaran di media sosial X oleh pengguna dengan nama @thaifood_umai baru-baru ini membuka mata ramai tentang bagaimana jawapan sesimple itu boleh jadi dilema besar bagi warga Jepun.
Perbincangan tersebut meraih puluhan ribu tontonan dan mencetuskan pelbagai reaksi menarik antara warga tempatan dan pelawat luar negara.
Bila “Ikut Suka” Jadi Tekanan Tersendiri
Dalam hantaran asal yang dimuat naik pada 24 November 2026, @thaifood_umai berkongsi pengalamannya ketika berada di Malaysia setiap kali keluar makan bersama orang tempatan.
Menurutnya, warga Jepun hampir selalu akan bertanya, “Awak cadangkan makan apa?” dengan harapan mendapat syor hidangan terbaik di negara atau restoran tersebut.
Sebaliknya, jawapan yang sering diterima daripada rakyat Malaysia ialah “Ikut suka awak” atau “Up to you”, yang membawa maksud tidak kira di negara mana atau restoran apa, pilih sahaja apa yang dimahukan.
Pengalaman ini membuatkan beliau terdiam dan buntu kerana sudah terbiasa menerima cadangan atau ikut arus kebiasaan tanpa perlu memikirkan pilihan sendiri.
“Setiap kali itu, saya bergelut untuk membuat keputusan,” tulis @thaifood_umai dalam hantarannya sambil tertanya-tanya adakah situasi tersebut juga satu bentuk tekanan untuk menyesuaikan diri.
Beliau turut memetik pandangan pengguna lain bernama @omotiii8 yang menggambarkan tekanan tidak nampak untuk mengikut norma di Jepun, sehingga sukar untuk benar-benar tahu apa yang diri sendiri mahukan.
Kenapa Rakyat Malaysia Selalu Jawab “Ikut Suka”?
Menjengah ke ruangan balasan, beberapa pengguna tempatan tampil menjelaskan konteks di sebalik jawapan klasik tersebut.
Salah seorang pengguna, @chinchinwachisa, menjelaskan bahawa sikap tersebut lahir daripada rasa tidak mahu membebankan orang lain sekiranya pilihan yang dicadangkan akhirnya tidak menepati selera.
“Kami tidak mahu anda rasa bersalah kalau akhirnya anda tidak suka dengan cadangan itu,” kata @chinchinwachisa, sambil menambah bahawa deria rasa setiap orang berbeza dan meneroka pilihan sendiri selalunya lebih menyeronokkan.
Nada yang sama turut disuarakan oleh @ridzuansr yang menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak mahu memberi tekanan kerana makanan kegemaran kita belum tentu sedap pada tekak orang lain.
Sementara itu, @aaamishah_8 pula menambah perspektif yang sangat dekat dengan realiti harian kita di sini. Katanya, penduduk tempatan sendiri pun kadangkala sukar membuat keputusan nak makan apa kerana terlalu banyak pilihan makanan yang sedap di sekeliling.
マレーシアにいた時、マレーシア人と日本人でご飯食べると日本人は高確率で「どれがおすすめ?」と聞くのだが、マレーシア人から返ってくる答え必ず「UpToYou(あなた次第)」だった。日本人的にはこの国のおすすめ、このレストランのおすすめをそのまま享受したいのだがマレーシアでは「国も店も関係… https://t.co/WnKRyzRt4R
— だまこもち@note芸人 (@thaifood_umai) November 24, 2026
Perbezaan Budaya Yang Membuka Ruang Saling Memahami
Perbualan di ruangan komen itu berkembang menjadi pertukaran pandangan yang matang dan mesra antara kedua-dua pihak. Pengguna @omotiii8 menyifatkan frasa “It’s up to you” sebagai satu ungkapan yang indah kerana ia mengingatkan manusia supaya tidak terlalu kerap mengalah demi menyenangkan orang lain sehingga lupa pada perasaan serta kehendak sendiri.
Menariknya, @thaifood_umai turut berpendapat bahawa kepelbagaian agama dan latar belakang di Malaysia mungkin memainkan peranan besar dalam membentuk sikap ini.
Berbeza dengan situasi di Jepun yang lebih seragam, masyarakat di sini hidup dengan pelbagai pilihan dan pegangan, jadi menghormati pilihan masing-masing menjadi sesuatu yang wajar.
“Oh, hari ini saya belajar sesuatu yang baru. Lain kali saya akan ubah jawapan saya jika makan bersama orang Jepun,” balas @ridzuansr selepas memahami perbezaan budaya tersebut. Balasan itu disambut baik oleh @thaifood_umai yang berterima kasih dan menyifatkan perkongsian gaya hidup sebenar rakyat Malaysia amat membantu rakan-rakan dari Jepun.
Kadang-kadang, perkara sekecil memilih menu makan tengah hari pun mampu bercerita panjang tentang budaya, empati dan cara kita memandang kehidupan.
Jadi lepas ini, kalau keluar makan dengan kawan atau pelancong dari Jepun, mungkin kita boleh beri satu dua cadangan padu dulu sebelum serahkan pilihan akhir kepada mereka.