Saya Azzim, Ipoh, 19 tahun. Dari kecil lagi, saya suka sangat berjalan. Pertama kali saya naik kapal terbang waktu pergi mengerjakan haji dengan mak abah pada tahun 2007, umur 10 tahun (yang ni tak kira berjalan sangat).
Lepas tu rasanya kali kedua pergi Bandung. Masa ni dah timbul rasa seronok berjalan. Masa dalam penerbangan balik ke Malaysia, saya nangis sambil lambai-lambai dekat pekan Bandung yang nampak dari tingkap kapal terbang!
Masa pergi Langkawi dulu pun sama. Dalam feri, nangis lambai-lambai kat burung helang yang besar gila tu! Dan seterusnya saya pergi “destinasi Airasia” yang lain. Tapi kebanyakannya Indonesia je.
Yang banyak aturkan trip masa ni Kak Ngah saya. Masa ni asyik fikir “mesti susah kan nak beli tiket kapal terbang tu. Nak check in beg kat LCCT pun nampak macam susah sangat”.
Saya ada seorang mak sedara yang sangat suka melancong. Peh! Kejap London, kejap Taj Mahal lepas tu China pulak. Saya nak pergi jugak! Nak jadi macam makcik saya tu. Masa tu umur saya baru 12 tahun.
Usia meningkat. Fikiran saya, sampai bila asal nak berjalan je kena ikut mak? Kena tunggu Kak Ngah belikan tiket kapal terbang?
Satu hari (masa ni dah umur 17 tahun), saya main-main Facebook. Terjumpa satu group untuk backpackers ni. Masa tu baru tahu “oh senang je ke nak gi jalan-jalan”. Baru tahu bajet tak banyak pun boleh gi ke mana-mana.
Sampai la satu hari, Malaysia masuk peringkat akhir Piala AF, lawan Thailand. Ni la permulaan saya pergi backpack sorang-sorang semata-mata nak tengok perlawanan team Malaysia di Bangkok.
Secara teknikalnya, tak pergi sorang sebab bila sampai Hatyai, jumpa abang Azrol Ruzali dan Madi San (ahli group backpackers tu). Terima kasih kepada mereka.
Masa ni mak pun takut-takut nak lepas kan saya jalan sorang-sorang. Memang silap la mak dah bagi kebenaran. Destinasi seterusnya adalah Krabi!
Lepas tu Mabul Island! Lepas tu Perth! Masa ni pergi solo, baru lepas SPM. Masa ni dah fikir, “orang lain rileks je pergi sana pergi sini kan. Aku pun nak macam tu!”
Dan inilah perkara paling berani setakat ini (bagi saya) yang pernah saya buat – travel 18 hari di Eropah! Saya baru balik 2 minggu lepas.
Mulanya ada perasaan berbelah bagi, “nak pergi ke tak nak ni”. Tapi akhirnya saya pun teruskan juga beli tiket.
Alhamdulillah, solo trip saya yang paling jauh dari rumah berjaya dilakukan tanpa ada sebarang masalah. Siapa sangka, tempat yang dari dulu usha dalam gambar je, saya dah pergi!
Dari kecil, bila cakap je pasal belajar kat luar negara, nama London mesti naik punya. “Nanti dah besar belajar kat London tu ha!” (Nak maksudkan luar negara). Memang dari situ lah saya dah tetapkan dalam hati “nak pergi la London ni bila besar!”
Bila kita betul-betul mahukan satu benda tu (dalam kes saya nak pergi satu tempat tu), bermulalah dengan bermulalah dengan impian dan cita-cita dahulu.
Kena selalu sebut-sebut. Lantaklah main-main pun. Bila sembang dengn kawan yang nak pergi Pulau Penang – “ah tak ada, aku nak pergi London!”. Padahal duit memang cukup beli tiket pergi Pulau Pinang je).
Sekurang-kurangnya apa yang kita selalu sebut ni akan ubah mindset kita untuk pergi lebih hampir ke arah target yang telah kita letak tersebut.
Letak target yang betul-betul jelas, nak pergi mana, nak pergi bila, dengan siapa, musim apa dll walaupun tak ada bajet lagi.
“Ala dik kau muda boleh la. Mak bapak kau bagi duit boleh la travel”. Tidak sebenarnya. Dari zaman sekolah saya berniaga jual tshirt kecil-kecilan.
Waktu nak raya Aidilfitri dalu, saya jual kurta (masa ni dah fikir target saya nak pergi London, kena cukup duit”). Alhamdulillah. Allah permudahkan.
Saya tak terfikir pun perkara yang saya buat main-main dulu asyik sebut nak pergi London tu akhirnya memang betul-betul jadi. Lagi pun orang selalu cakap – kata-kata itu adalah doa. Kan?
Masalah saya dulu asyik tengok gambar orang pergi travel je sambil cakap sorang-sorang “bila lah aku boleh sampai ke sana”. Sepatutnya saya kena ubah jadikan ayat – “tahun depan aku nak pergi sana!”
Berikut 11 perkara yang saya pelajari sepakang kembara solo kali ini.
1. Impian dan cita-cita yang jelas
Impian dan cita-cita perlu betul-betul jelas agar kita mudah nak capai impian tu. Perlu senaraikan bila waktu kita nak pergi, siapa teman kita, apa tempat yang kita betul-betul nak lawati.
2. Selalu sebut impian tersebut
Impian kita tu harus selalu “disebut-sebut”, semua itu doa. Sampai sekarang saya masih tak sangka saya dah sampai ke 8 buah negara di Eropah berseorangan.
3. Fikirkan cara untuk cari dan kumpulkan wang
Bagi merialisasikan impian saya, saya perlu mempunyai wang yang cukup untuk menampung perbelanjaan saya sewaktu di sana. Oleh itu, saya berubah daripada seorang yang sebelum ini hanya menunggu untuk diberi duit belanja oleh ibu bapa kepada seorang yang lebih rajin untuk mencari duit sendiri. Hal ini dilakukan semata-mata untuk merialisasikan impian saya.
4. Berdikari
Bila cakap pasal solo travelling, benda pertama yang kena betul-betul ada dalam diri ialah sifat berdikari tu. Jika anda demam disana, andalah yang mengubati diri sendiri.
5. Belajar untuk sabar
Saya belajar untuk jadi seorang yang lebih sabar, lebih-lebih lagi apabila ada perkara yang kita dah rancang, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Di London, saya terlepas keretapi untuk ke Stonehenge. Sabar!
6. Dapat kenalan baru
Sunyi? Apa tu! Bahagian yang paling susah nak terangkan bila ada yang bertanya “tak bosan ke travel sorang-sorang?” Di setiap hostel yang saya pergi, mesti ada seorang atau 2 kawan baru yang saya sempat berkenalan.
Mereka juga kadangkala solo traveller. Di London, saya bertemu dengan Manuela dari German. Dialah travel buddy saya untuk sehari di sana. Jadi, jangan malu untuk bergaul dengan traveller lain.
7. Lebih yakin dan berani buat keputusan
Saya lebih yakin dan berani dalam membuat keputusan. Tidak dinafikan, apabila mengembara mesti kita akan hadapi pelbagai masalah yang memerlukan kita membuat keputusan.
Apabila kita mengembara secara solo, segala keputusan terletak di tangan kita sendiri. Segala risiko daripada keputusan yang kita buat juga harus ditanggung oleh diri sendiri.
8. Berdisiplin
Jika bas dari London ke Paris dijadualkan pada pukul 11 malam, saya perlu berada di terminal bas setengah jam lebih awal. Jika tidak, sudah pasti saya ketinggalan bas. Perasaan “takut ketinggalan bas” ini secara tak langsung mendisiplinkan diri saya agar menepati masa.
Baca: Tip Kembara Dan Itinerari Ke 12 Negara Balkan Dengan Bajet RM3K Selama 32 Hari
9. Perlu ada persediaan dan persiapan
Saya mula sedar yang bukan semua benda boleh kita lakukan secara redah je. Perlu ada persiapan juga. Dulu, saya berpendapat yang travel secara redah saja ni lagi mencabar dan sedikit cool.
Memang mencabar, tapi dari segi penggunaan masa, travel secara redah saja bukanlah sesuatu yang bijak.
Sebagai contoh, jika saya tidak tahu yang saya boleh membeli tiket masuk ke Colloseum secara online, saya mungkin menghabiskan masa untuk beratur paling kurang 2 jam dibawah terik matahari untuk beli tiket masuk ke banguna bersejarah ini.
10. Belajar berjimat cermat
Secara tidak langsung, saya dilatih untuk menjadi seorang yang berjimat cermat. Nilai matawang yang tinggi berbanding negara kita sedikit sebanyak memberi kesan kepada saya.
Oleh sebab itu, saya akan berfikir berkali-kali sebelum membeli apa-apa di sana sama ada barang itu hanya kehendak atau pun keperluan!
11. Kenal erti bersyukur
Saya sangat tersentuh apabila melihat kesungguhan ramai orang di sana untuk mendapatkan wang dengan pelbagai cara. Contohnya dengan cara meminta sedekah, meminta makanan, persembahan jalanan dan tidak lupa dengan cara menyeluk saku.
Perlu diingat, jika kita rasa kitalah yang paling susah di dunia ini, ada yang mungkin lebih dahsyat daripada kita. Bersyukurlah dengan kehidupan yang kita ada sekarang ni
LONDON – PARIS – ROME+PISA+FLORENCE – VENICE – LJUBLJANA – VIENNA – PRAGUE – BRUSSEL – AMSTERDAM.
Pengangkutan
Semuanya naik bas kecuali dari Paris – Rome naik penerbangan kos rendah bernama VUELING. Korang boleh guna website www.goeuro.co.uk untuk buat perbandingan sama ada nak naik bas, keretapi atau kapal terbang.
Penginapan
Hostel je. Buat tempahan di hostelworld.com
Bajet
Hampir RM7000. Saya tak shopping. Mak cuma kata “mana-mana kamu pergi pun, jangan lupa beli tu kat mak (sambil tunjuk fridge magnet).
RM2500+- flight Emirates
RM1500+- kat hostel
RM1500+- pengangkutan
RM1500+- belanja kat sana dan admission fee. Saya bawak periuk nasi kecil dan Brahim’s banyak gila. Banyak yang sampai berat beg.
Akhir kata, terima kasih saya ucapkan kepada ibu bapa, Kak Ngah, Kak Ya, Pya, Hazman awek London separuh Malaysia yang tolong tunjuk jalan, pakcik kedai buah kat Rome tolong call kan taxi, pakcik botak tolong tunjuk jalan kat Venice, Lucia gadis Milan teman jalan-jalan kat Venice, orang-orang yang saya PM di Facebook untuk tanya macam-macam tentang Eropah dan semua yang tolong jayakan trip ini.
Jadi, tak salah jika nak simpan impian. Bermimpilah ingin ke bintang, paling-paling bila jatuh, masih di puncak gunung! SELAMAT BERCITA-CITA DAN BERIMPIAN JELAS.
Baca lagi: 17 Lokasi Menarik Di Eropah Tengah Tapi Kurang Diketahui Oleh Ramai Traveller