Di saat Palestin sedang bergolak pada Oktober lalu, difahamkan sebuah bendera Israel telah dikibarkan di Marang, Terengganu. Insiden yang berlaku telah mendapat perhatian ramai termasuk pihak polis yang menjalankan siasatan terhadap seorang lelaki ini.

Terbaharu, lelaki ini disabitkan kesalahan dan dipenjara enam bulan serta didenda RM500 di Mahkamah Majistret atas kesalahan mempamer bendera Israel.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tertuduh bernama Harma Zulfika Deraman berusia 30 tahun turut berdepan hukuman tambahan penjara tiga bulan sekiranya beliau gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, hukuman itu akan bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara lima tahun mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Majistret Zur Azureen Zainalkefli membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mempamer bendera Israel di tempat awam iaitu bertentangan dengan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai aksesori kenderaan di Kampung Padang Lebam, Bukit Payung, di sini jam 1 petang, 19 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(1)(i) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintendan Othman Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sumber