Selain memberi duit raya di dalam sampul, kini orang ramai juga selesa menggunakan kod QR kerana lebih mudah dan pantas.
Namun baru-baru ini, seorang wanita telah menegur sikap segelintir ibu bapa yang tanpa segan silu meminta-minta duit raya untuk anak mereka.
Menerusi hantaran di Facebook, seorang wanita itu menyatakan terdapat ibu bapa yang sanggup melakukan ‘spam’ di WhatsApp dengan menghantar imbasan kod QR untuk meminta duit raya anak mereka.
Apa yang lebih menjengkelkan lagi ada yang sanggup menghantar pesanan sama setiap hari demi memastikan hajat mereka dipenuhi.
Perkara itu secara tidak langsung membuatkan wanita terbabit tertanya-tanya adakah individu berkenaan akan membuat perkara sama sekiranya berkunjung ke rumah orang lain.
“Duit raya ni tak perlu minta-minta orang nak bagi dia akan bagi.
“Tunjuklah contoh yang baik untuk anak-anak. Jagalah air muka suami dan keluarga lain sama,” ujarnya.
Malah wanita itu turut meminta agar budaya meminta-minta ini tidak dinormalisasikan.
“Maaf saya memang suka memberi tapi saya tak suka orang meminta.”
Dalam hantaran itu, wanita berkenaan turut berkongsi tangkap layar memaparkan mesej individu yang meminta duit raya.
“Assalamualaikum Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh keluarga, mana tahu ada nak kongsi rezeki duit raya..” ujar individu itu.
Menerusi ruangan komen wanita itu turut memaklumkan dia tidak berniat untuk memalukan individu berkenaan dan menjadikan perkara itu sebagai pengajaran buat semua.
Hantaran itu ternyata meraih perhatian netizen yang mana majoritinya sangat bersetuju dengan kenyataan wanita itu. Bagi netizen, ibu bapa yang dilihat melebih-lebih dalam meminta duit raya berbanding anak mereka sendiri.
Malah, ada daripada mereka berkongsi pengalaman yang sama di mana wujud segelintir individu sanggup menjaja cerita sedih demi mendapatkan duit raya.