Skuad kebangsaan Indonesia dilaporkan bakal memecat ketua jurulatih pasukan iaitu Shin Tae-yong dalam jangka masa terdekat.

Salah seorang exco Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Khairul Anwar memuat naik status di laman media sosial miliknya dengan mengucapkan terima kasih kepada Tae-yong.

Baca Juga:

“Terima kasih Shin Tae-yong kerana telah bersama kami. Anda menjadi sebahagian daripada transformasi bola sepak Indonesia,” tulisnya.

Berita mengenai perpisahan antara skuad Garuda dan Tae-yong sudah cukup lama diperkatakan namun kegagalan di Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 dianggap sebagai kemuncaknya.

Peminat di negara seberang mempunyai pendapat yang berbeza mengenai jurulatih dari Korea Selatan itu selepas pasukannya gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam kejohanan edisi kali ini.

Ada segelintir peminat yang mahu Tae-yong digantikan selepas Indonesia terus kempunan dalam usaha mereka untuk menjuarai Piala AFF.

Namun, sebahagian besar peminat mahu jurulatih itu dikekalkan kerana pasukan menampilkan prestasi yang baik dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan temasya itu merupakan sasaran yang lebih berbaloi untuk dikejar dan Tae-yong merupakan individu yang tepat untuk merealisasikan sasaran tersebut.

Sebelum ini, Tae-yong menandatangani kontrak lanjutan bersama PSSI dimana beliau akan terus membimbing skuad kebangsaan negara itu sehingga tahun 2027.

Ketika baru dilantik, pengendali dari Korea Selatan itu membuat satu janji dimana beliau mahu menaikkan martabat bola sepak di negara itu selepas melalui zaman gelap sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Bola sepak Indonesia pernah berada di titik terendah dan mereka tidak mempunyai pilihan lain selain untuk bangkit. Saya menerima tanggungjawab ini untuk mewujudkan impian itu.

“Satu perasaan yang membahagiakan dan juga baik kerana dapat melihat bola sepak Indonesia kembali bangkit selepas jatuh. Kami memerlukan tempoh masa empat tahun untuk berada di posisi sekarang.

“Saya tidak dapat menjalankan tugas dengan baik pada dua tahun awal kerana pandemik Covid-19. Dua tahun terakhir barulah kita melihat pasukan ini berkembang,” katanya.