Pasaran kereta elektrik sudah menunjukkan perkembangan baik di serata dunia. Sebanyak 270 juta kenderaan EV dijangka bakal berada atas jalan raya di seluruh dunia menjelang tahun 2030 nanti.
Baru-baru ini Toyota dilapor bakal melabur sebanyak AS$1.8 bilion (RM8.01 bilion) di Indonesia dalam tempoh lima tahun akan datang untuk menjadikan negara republik itu sebagai hab pengeluaran kenderaan elektriknya di rantau Asean.
Perancangan itu diumumkan oleh Shigeru Hayakawa, Naib Pengerusi Lembaga Pengarah Toyota Motor Corporation, ketika beliau bertemu Ketua Menteri Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto di Tokyo pada hari Selasa, lapor Jakarta Globe.
“Kami berharap dengan peningkatan pelaburan ini, republik Indonesia akan tahu kami serius terhadap pembangunan elektrifikasi kenderaan bermotor,” kata Hayakawa.
Airlangga sangat mengalu-alukan rancangan Toyota untuk pelaburan yang lebih besar dalam pembangunan kenderaan elektrik di Indonesia.
“Saya percaya permintaan untuk kenderaan elektrik, baik roda empat mahupun dua roda di Indonesia dan Asean pada masa hadapan akan terus meningkat. Indonesia boleh dijadikan pangkalan industri untuk pengeluaran kenderaan elektrik (EV) untuk dipasarkan di Asean dan di Indonesia sendiri,” kata Airlangga.
Toyota membuka xEV Center Mei lalu yang menyediakan latihan jurutera tempatan mengenai elektrifikasi dan pendigitalan automotif. Dengan kerjasama syarikat tenaga negeri Pertamina dan syarikat induk perlombongan negeri Inalum, Toyota turut membantu meningkatkan kepakaran jurutera tempatan dalam industri bateri.
Toyota Indonesia dan juruteknik dari Indonesia juga membangunkan konsep Kijang Innova BEV untuk mengkaji teknologi dan keadaan bagi menyediakan penggunaan yang lebih ketara oleh orang di Indonesia.
Airlangga menjangka kenderaan elektrik Toyota bakal digunakan untuk membawa perwakilan Sidang Kemuncak G20 pada November akan datang.
* Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.
Baca lagi beberapa pelaburan untuk industri EV yang diwar-warkan bakal masuk ke negara jiran Indonesia. Klik pautan di bawah.
‘Indonesia Tunjuk Sikap Positif Dan Optimistik’ – Elon Musk Teruja, Mahu Kerjasama Lebih Besar
Tesla Mahu Bangunkan ‘Power Bank’ 100MW Gergasi Di Indonesia