Risiko jerebu rentas sempadan ke atas negara ini dijangka meningkat berikutan lonjakan mendadak jumlah titik panas di Kalimantan, Indonesia yang mencecah 808 titik semalam, petik Berita Harian.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, mendedahkan bahawa pergerakan jerebu bergantung sepenuhnya kepada situasi kebakaran terbuka di negara jiran berkenaan serta keutamaan tiupan angin semasa.
“Selagi kebakaran tidak dipadamkan, ia akan terus memberi kesan kepada negara berdekatan. Negara kini masih berada di fasa Monsun Barat Daya yang membawa tiupan angin dari Indonesia ke Malaysia, dan fasa ini dijangka berakhir pada Oktober,” jelas beliau.
Data daripada Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) menunjukkan peningkatan ketara di Kalimantan:
12 September: 301 titik panas
13 September: 461 titik panas
14 September: 808 titik panas
Dalam tempoh sama, ASMC turut merekodkan 87 titik panas di Sumatera, 15 di Sabah dan Sarawak, serta satu titik panas di Semenanjung Malaysia.
Walau bagaimanapun, keadaan atmosfera dan cuaca lembap yang diramal melanda bahagian barat Sarawak sepanjang minggu ini dijangka membantu mengurangkan impak jerebu serta membersihkan udara secara semula jadi di kawasan terbabit.
Mengulas mengenai prospek cuaca akan datang, Dr Mohd Hisham memberi amaran bahawa negara dijangka berdepan keadaan cuaca kering dan panas yang lebih ekstrem bermula Januari hingga Mei tahun depan, serentak dengan penghujung Monsun Timur Laut.
Kualiti udara semasa bagaimanapun dijangka kembali pulih sebaik sahaja Monsun Timur Laut bermula tidak lama lagi berikutan perubahan arah tiupan angin.
ASMC menambah, pengesanan titik panas dibuat menerusi satelit NOAA bagi mengenalpasti lokasi potensi kebakaran, namun faktor litupan awan tebal atau gangguan satelit boleh menjejaskan kejituan bacaan dari semasa ke semasa.