Pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menoktahkan momentum cemerlang dalam kejohanan badminton Indonesia Masters 2025 dengan cukup bergaya selepas muncul juara saingan berstatus Super 500 itu, sebentar tadi.
Lebih manis kejayaan itu diraih Wei Chong-Kai Wun selepas berjaya menundukkan wakil tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang juga merupakan pilihan pertama kejohanan.
Malah, ia merupakan kemenangan pertama dilakarkan Wei Chong-Kai Wun ke atas lawan tersebut dalam lima pertemuan mereka sesama sendiri dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Berdepan lawan yang mendapat sorakan padu para penyokong jelas tidak meruntuhkan semangat pasangan beregu nombor tiga negara itu untuk beraksi cemerlang.
Ia jelas dibuktikan apabila Wei Chong-Kai Wun tidak terlalu berdepan masalah untuk memenangi set pertama dengan jurang mata 21-11.
Tekanan lebih hebat dihadapi pasangan ranking ke-13 dunia yang merupakan semi finalis Terbuka Malaysia itu pada set kedua.
Namun, mereka menyerap tekanan dengan cukup baik untuk mengumpul mata demi mata bagi memenangi permainan 21-
Kejayaan yang memastikan kejayaan kedua berturut-turut buat kem badminton Malaysia dimana sebelum ini Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjuarai Terbuka India pada minggu lalu.
Hadiah Dimenangi Wei Chong-Kai Wun Selepas Ungguli Indonesia Masters 2025
Susulan kejayaan manis muncul juara di Istora Senayan ini, Man Wei Chong-Tee Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $37,525 (RM164,284.49) manakala Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pula meraih $18,050 (RM79,022.91).
Sementara itu hasrat untuk melihat Pearly Tan-M. Thinaah turut meraih kejuaraan tidak kesampaian selepas tunduk kepada lawan dari Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong 12-21, 21-17, 18-21.
Kali pertama dan terakhir wakil Malaysia meraih kejuaraan di Indonesia Masters ialah pada 2011 menerusi beregu wanita, Vivian Hoo-Wong Khe Wei.