Pada minggu lalu tular berita seorang pempengaruh media sosial tempatan, dikenali sebagai Esha telah mencabut nyawanya sendiri kerana tekanan daripada pembuli siber.

Suspek yang didakwa terbabit dengan buli siber telah ditahan di Rawang Selangor pada awal pagi Selasa lalu.

Baca Juga:

Terbaharu, pembuli siber itu yang juga seorang pempengaruh media sosial mengaku salah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat bertujuan membangkitkan kemarahan berhubung kes buli siber pempengaruh Rajeswary Appahu atau dikenali Esha, lapor Malaysia Gazette.

Tertuduh Shalini Periasamy berusia 35 tahun menggunakan akaun media sosial TikTok dengan nama ‘alphaquinnsha’.

Memetik laporan, tertuduh kelihatan tenang ketika dibacakan pertuduhan tersebut dan mengaku salah perbuatannya, serta mengakui dirinya sudah insaf dengan insiden tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Arunjothy M Selvarwam hari ini.

Tertuduh bekerja sebagai pembantu rumah jagaan orang tua.

Hakim kemudian mengenakan denda sebanyak RM100 atau penjara tujuh hari sekiranya denda tersebut tidak dibayar.

Kesalahan dilakukan pada 1 Julai lalu kira kira jam 4.10 pagi di Sentul.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Terdahulu, sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah, Esha ditemui meninggal dunia.

Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil yang turut menghadiri upacara pengkebumian mendiang meluahkan rasa kecewa atas insiden yang berlaku itu.