Sejak kebelakangan ini, satu pendedahan mengenai jenama mewah dari seorang influencer China di TikTok sedang mencuri perhatian ramai di seluruh dunia.
Dalam video yang kini viral, beliau membongkar satu rahsia besar yang selama ini hanya diketahui oleh orang dalam industri fesyen mewah.
Kebanyakan barangan mewah dari Eropah sebenarnya dihasilkan di kilang-kilang di China — dan hanya dibungkus semula di Eropah untuk dijual pada harga yang jauh melampaui kos asalnya.
Buat Tak Sampai RM6,000 Tetapi Jual Beratus Ribu
Video tersebut memberi tumpuan khusus kepada satu produk yang cukup ikonik – beg Hermès Birkin.
Sebuah beg Birkin asli dijual pada harga sekitar $38,000 USD, iaitu hampir RM180,000 seunit.

Namun, menurut influencer tersebut yang mendakwa dirinya adalah pengusaha OEM (Original Equipment Manufacturer) kepada pelbagai jenama terkenal, kos sebenar untuk menghasilkan satu beg Birkin hanyalah sekitar $1,400 USD atau lebih kurang RM6,500.
Dan lebih mengejutkan, jika dibeli terus dari kilangnya — tanpa logo mewah Hermès — versi beg yang sama itu boleh dimiliki pada harga serendah $1,000 USD sahaja.
Apa yang membuatkan pendedahan ini begitu menarik ialah perincian yang diberikan oleh influencer tersebut.
Dari kulit ‘Togo’ yang dibekalkan oleh pembuat kulit premium dari Itali, benang mewah dari Perancis, kepada hardware stainless steel yang dikenali sebagai ‘ocean-grade’, semuanya diperincikan dengan teliti.

Namun, selepas semua bahan dan tenaga kerja diambil kira, kos pembuatan satu beg Birkin tetap tidak mencecah 10% pun daripada harga jualan runcitnya.
Selebihnya? Adalah untuk ‘nilai jenama’ — atau lebih tepat lagi, ilusi kemewahan yang dibina oleh logo dan status sosial yang datang bersamanya.
Satu Kilang Untuk Pelbagai Jenama Mewah
Lebih menarik lagi, influencer itu juga menyatakan bahawa kilangnya pernah menjadi OEM kepada pelbagai jenama mewah antarabangsa seperti Gucci, Prada, Coach, dan beberapa lagi.
Dalam nada sedikit kesal, beliau mendedahkan bagaimana tukang-tukang di China yang membuat produk-produk untuk jenama mewah ini hanya menerima bayaran gaji biasa, manakala keuntungan besar dikaut oleh syarikat-syarikat Barat yang meletakkan label ‘Made in France’ atau ‘Italy’ untuk meningkatkan nilai jualan.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kualiti buatan dari kilang mereka tetap unggul.
Dengan sistem kawalan kualiti yang ketat, tenaga kerja yang cekap dan rajin, serta rantaian bekalan yang sangat lengkap dan cekap, beliau percaya kilangnya mampu menawarkan produk dengan kualiti yang sama – malah lebih baik – berbanding produk jenama terkenal.