Zaman sekarang, ramai peniaga kecil berharap pada kuasa viral untuk naikkan jualan. Tapi malangnya, ada pula individu yang mengaku diri mereka sebagai “influencer” mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

Terbaharu, tular satu pendedahan mengenai tindakan seorang influencer yang didakwa menjalankan taktik licik dengan menawarkan khidmat ulasan (review) secara percuma, namun akhirnya meninggalkan kesan buruk buat peniaga.

Modus Operandi: “Free Review” Tapi Ada Kos Tersembunyi

Menurut hantaran yang tular menerusi akaun meyy.xm di Threads, influencer tersebut menawarkan free review bagi membantu peniaga kecil. Bunyinya murni, bukan? Namun, syaratnya peniaga perlu menanggung kos pengangkutan yang mencecah lebih RM50.

Bagi peniaga besar, RM50 mungkin nampak kecil. Tapi buat peniaga kecil yang baru hendak bertapak, RM50 itu adalah modal pusingan, duit beli bahan mentah, atau upah penat lelah mereka seharian.

Selepas duit dibayar dan makanan/produk diberikan, janji hanya tinggal janji. Video review yang dijanjikan tidak kunjung tiba, malah mesej peniaga pula dibiarkan sepi atau dalam bahasa mudahnya—dipalau.

Bukan Sorang Sahaja Yang Terkena

Apa yang lebih mengecewakan, mangsa rupa-rupanya bukan seorang. Influencer ini didakwa sudah melakukan taktik yang sama kepada ramai peniaga kecil lain. Seolah-olah “duit transport” itu dijadikan pendapatan sampingan dengan cara menipu.

“Adik ni cakap dia halal dah sebab redha. Tapi berkat ke awak buat kerja macam ni? Kalau ya nak bina profil dan betul-betul nak tolong peniaga kecil, terjah saja la, jangan menipu orang!”

“Build Profile” Biarlah Berkat

Kepada mana-mana individu yang mahu membina nama sebagai content creator, janganlah bermula dengan cara yang kotor. Menipu peniaga kecil yang sedang bersusah-payah mencari rezeki bukan sahaja merosakkan reputasi anda, malah menutup pintu rezeki orang lain yang betul-betul ikhlas mahu membantu.

Jangan sampai satu hari nanti, nama anda terpampang di seluruh media sosial sebagai “scammer” tegar. Pada waktu itu, minta maaf pun mungkin sudah tidak berguna lagi.

Pesanan buat peniaga di luar sana pula, berhati-hati dengan tawaran review yang nampak terlalu indah. Pastikan anda semak dulu kredibiliti mereka sebelum mengeluarkan sebarang bayaran.