Seorang influencer dari Sarawak berkongsi luahan ketidakpuashatian selepas perlu membayar ganti rugi ‘semahal’ RM13,000 selepas merosakkan sebuah jet ski di Pulau Langkawi.

NgekTsai Army berkongsi kisah itu di Facebook kerana masih tidak percaya perlu membayar ganti rugi sebanyak itu dan pada masa sama tidak diberikan sebarang resit selepas pembayaran dibuat.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Sehubungan dengan itu, pihak syarikat jet ski tampil memberikan penjelasan berhubung perkara yang tular tersebut.

Pemilik syarikat CBW Watersport, Rotna Fairi Rahani terkilan selepas pelanggan yang juga influencer Sarawak itu menularkan isu berkenaan, petik Harian Metro.

“Pada hari kejadian, kira-kira 6.15 petang, kakitangan saya berbincang dengan pelanggan terbabit dan dia mengaku melakukan kesalahan selepas menyebabkan perlanggaran dua jet ski yang digunakannya bersama rakan.

“Perbincangan turut mencapai kata sepakat apabila dia (Ngek Tsai) bersetuju membayar RM13,000 walaupun jumlah pampasan sebenar dikenakan adalah RM15,000,” katanya ketika ditemui pihak Harian Metro.

Difahamkan dia telah diminta hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi dua hari lalu dipercayai susulan laporan polis yang dibuat Ngek Tsai di Kuching, Sarawak.

Menurut Rotna, influencer berkenaan sudah menandatangani perjanjian sebelum bermain jet ski.

“Sebagai pelanggan dia (Ngek Tsai) menandatangani borang indemniti untuk mematuhi beberapa syarat ditetapkan dan bersetuju membayar pampasan sehingga RM20,000 jika berlaku kerosakan pada jet ski.

“Saya masih menyimpan rakaman video yang memaparkan dia (Ngek Tsai) mengaku salah atas kejadian dan bersetuju membayar pampasan RM13,000, tapi dia tularkan semula isu itu selepas kembali ke Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Ngek Tsai ditimpa kemalangan semasa bermain jet ski. Rakannya meminta dia untuk mendiam diri, bagaimanapun dia sedia bertanggungjawab atas kerosakan jet ski dinaiknya.

Dia turut membandingkan aktiviti gokart yang jauh lebih ‘telus’, di mana peserta akan dimaklumkan terlebih dahulu kos-kos perlu dibayar sekiranya gokart itu mengalami kerosakan semasa dipandu.

“Kalau Ngek Tsai tahu kerosakan macam dalam gambar itu boleh mencecah RM15,000, sumpah tak nak main!” kata influencer tersebut.

Tambahnya, laporan polis telah dibuat di Kuching apabila dia tiba di Sarawak sebagai satu cover diri sekiranya pihak syarikat memintanya lagi wang ganti rugi kerana pada waktu pembayaran, tiada sebarang bukti resit dikeluarkan.