Keberkesanan sesebuah iklan diukur melalui kemampuannya untuk menghentikan perhatian audiens (stopping power). Paling penting sekali ia mestilah unik dan kreatif agar mesej yang disampaikan boleh difahami dengan jelas oleh sesiapa yang melihatnya.
“Ingatkan salah tengok, rupanya betul-betul besar!” Itulah reaksi rata-rata pengguna jalan raya apabila terserempak dengan papan iklan terbaru daripada MR.DIY yang mempamerkan sebuah beg dengan tali gergasi yang seolah-olah ‘keluar’ daripada bingkai iklan tersebut.

Pendekatan berani dan luar daripada kotak ini bukan sahaja membuktikan kreativiti jenama tempatan dalam menarik perhatian massa, malah berjaya mewujudkan impak visual yang cukup kuat sehingga tular di menerusi platform media sosial.
Difahamkan sejumlah pengguna jalan raya telah berkongsi beberapa keping gambar memperlihatkan rupa sebenar iklan MR.DIY yang berjaya mencuri perhatian.
Kelihatan seakan sebuah beg yang besar berwarna kuning dengan logo serta satu mesej ringkas yang cukup bernas.
“Satu Beg, Seribu Cerita” – sebuah mesej yang pendek tetapi cukup memberi maksud yang mendalam betapa berjasa beg tersebut untuk memudahkan para pelanggan untuk membawa pulang barangan yang dibeli menerusi kedai tersebut.
Menerusi hantaran berkenaan, ia bukan sahaja membuktikan teknik pemasaran yang berjaya malahan meraih pujian ramai kerana dilihat sangat kreatif dan unik.
“Satu lagi iklan genius,” kata seorang netizen.
“Saya baru nampak semalam. Saya mcm, tali betul ke tu? Memang betul wehhh,” tulis seorang netizen lain.
“Satu beg. Seribu cerita pasal kenapa beli benda-benda yang tak plan dan tak perlu,” komen jenaka seorang lagi.
Seorang netizen lagi percaya sifat terbuka dari pihak atasan yang sedia menerima idea baharu inilah dapat memberi ruang untuk hasil iklan yang luar dari kotak.
Tidak kurang juga, ramai melihat mesej yang dipamerkan itu juga sebenarnya boleh dikaitkan dengan kehidupan sebenar di mana para pelanggan akan membelanjakan pelbagai barangan di kedai tersebut dan tanpa sedar memenuhi ruangan beg ikonik itu.