Semalam rakyat Malaysia menjadi saksi apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan kabinet yang bakal mengemudi negara Malaysia melibatkan 28 menteri daripada pelbagai kaum.
Pengumuman yang dibuat telah menyaksikan ahli daripada pelbagai parti yang menyertai blok kerajaan dilantik menjadi menteri termasuk PKR, UMNO, DAP, Amanah, GPS, GRS dan sebagainya.
Baca Juga:
- Lelaki Ini Dedah Mengapa Kedai Motosikal Lebih Suka Pembeli Buat ‘Loan’ Berbanding Beli Tunai
- ‘Pandai Urus Duit Baru Boleh Guna’ – Ini Nasihat Penasihat Kewangan Sebelum Anda Mohon Kad Kredit
- Jangan Ulang 5 Kesilapan Kewangan Orang Malaysia Selalu Buat
Di sebalik pengumuman ringkas yang dibuat, keputusan yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meraih pelbagai persoalan dan respon di kalangan netizen. Bukan itu sahaja, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku mantan Perdana Menteri ke-8 dan juga bertindak sebagai pembangkang tampil dengan sebuah kenyataan media menerusi laman Facebook.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU).
Tambahnya lagi, kabinet yang diumumkan merupakan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila individu yang mempunyai 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram turut dilantik.
Malah beliau turut menyifatkan kabinet yang dibentuk seolah menjual maruah negara atas keinginan peribadi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berang apabila individu yang terkanl dengan sikap cauvinis melampau dilantik di mana beliau mendakwa dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan dipamerkan.
Meskipun barisan kabinet yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipersembahkan kepada Istana Negara terlebih dahulu, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin nyata sangat keras sekaligus menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan netizen.
Beliau juga turut mendakwa sistem negara telah rosak atas apa yang dilakukan pihak kerajaan yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 24 November lalu.