Pep Guardiola dilaporkan telah menolak tawaran untuk menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Itali selepas mengadakan perbincangan dengan pengarah teknikal, Paolo Maldini.
Bekas pengurus Manchester City itu memilih untuk kekal dengan perancangannya mengambil tempoh rehat yang lebih panjang daripada dunia kejurulatihan berbanding mengemudi skuad Azzurri menjelang kempen antarabangsa akan datang.
Pengurus kelahiran Catalonia itu dilaporkan mempertimbangkan tawaran tersebut secara serius selepas memilih untuk melepaskan jawatannya di Manchester City susulan tempoh 10 tahun yang cukup gemilang bersama kelab itu.
Guardiola Tolak Tawaran Itali
Namun, Guardiola akhirnya memutuskan untuk berpegang kepada perancangan asalnya dengan mengambil cuti rehat daripada dunia kejurulatihan bagi meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarganya.
Selain keinginannya untuk berehat, Guardiola turut mempunyai keraguan terhadap sifat pengurusan pasukan kebangsaan yang banyak bergantung kepada pemantauan pemain dari jauh berbanding penglibatan secara langsung setiap hari di padang latihan.
Beliau menegaskan kembali prinsip profesionalnya yang menuntut komitmen penuh dalam setiap peranan yang dipikul, sambil mengakui hubungan rapat serta rasa hormat mendalam terhadap Maldini yang hadir dengan sebuah projek jangka panjang untuk skuad Azzurri.
“Saya berterima kasih, saya berasa amat dihormati, tetapi pada ketika ini saya tidak merasakan saya mampu melakukannya.”
“Jika saya melakukannya, saya akan melakukannya dengan komitmen 100 peratus,” ujar Guardiola menurut sumber laporan Goal.