Selepas menamatkan kemarau pingat emas selama 34 tahun dalam acara regu berpasukan setelah menundukkan Thailand dalam Sukan SEA 2025 tempoh hari, kem Malaysia akan turun dengan satu lagi misi bermula Jumaat ini.

Tanpa mahu merendahkan pasukan-pasukan lain seperti Vietnam dan Indonesia, cabaran paling berat bakal dihadapi anak buah Ahmad Jais Baharun itu pastinya gergasi dunia, Thailand.

Baca Juga:

Thailand sekali lagi muncul sebagai lawan utama yang perlu diatasi sekiranya Malaysia mahu meneruskan momentum gemilang di pentas Sukan SEA.

Mengikut perkiraan di atas kertas, Malaysia akan berdepan dengan seteru utama itu pada perlawanan akhir. Dengan syarat skuad negara perlu muncul juara kumpulan untuk mengelakkan pertemuan lebih awal di separuh akhir.

Thailand Pertaruh Skuad Berbeza

Selepas dua kali tewas ditangan Malaysia ketika mempertaruhkan pemain berbeza dalam Piala Dunia 2024 dan Piala Asia 2025, Thailand turun dalam acara regu pada edisi ini dengan membuat perubahan di posisi tekong dan apit kiri.

Tiada lagi kelibat ‘orang lama’ seperti Siriwat Sakha (37 tahun), Sittipong Khamcan (32 tahun) dan Yodsawat Uthaijaronsri (37 tahun) untuk menggalas tanggungjawab besar dalam acara ini.

Sebaliknya, Thailand mempertaruhkan Pornthep Tinbangbon dan Kritsanapong Nontakote selaku tekong, Thawisak Thongsai serta Varayut Jantarasena sebagai apit kanan dan Marukin Phanmakon (apit kiri).

Manakala, Malaysia pula sudah pastinya menyandarkan harapan kepada juara dunia dan asia iaitu Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam sambil dibantu Muhammad Noraizat Nordin serta Haziq Hairul Nizam.

Skuad negara akan memulakan saingan acara regu lelaki dengan menghadapi Laos pada 10 pagi dan kemudiannya Vietnam jam 4.00 petang hari Jumaat.

Separuh akhir akan diadakan pada jam 10.00 pagi hari Sabtu dan kemuncak final berlangsung jam 1.00 petang.