Jika dahulu nama Pulau Langkawi lebih sinonim dengan kisah legenda Mahsuri, pantai yang memutih atau syurga membeli-belah bebas cukai, kini pulau permata Kedah ini sudah beralih ke satu lagi fasa baharu.

Di mata komuniti sukan lasak global, Langkawi kini dikenali sebagai ibu kota pelancongan sukan (sports tourism) bertaraf dunia!

Lihat sahaja impak luar biasa daripada dua kejohanan gergasi yang berlangsung di Langkawi iaitu IRONMAN Malaysia dan Langkawi International Half Marathon (LIHM).

Bukan sekadar acara menguji ketahanan fizikal semata-mata, gabungan dua kejohanan ini telah menjadi enjin ekonomi utama yang menyuntik ratusan juta ringgit terus ke poket peniaga dan komuniti setempat.

Limpahan Ekonomi Ratusan Juta Ringgit & Fenomena ‘RaceCation’

Bukan Sekadar Acara Larian, Ini Cara IRONMAN Dan LIHM Jana Ratusan Juta Ringgit Buat Langkawi
Fauzy Famir, Pengarah Perlumbaan IRONMAN Malaysia

Impak kewangan yang dijana oleh kedua-dua acara ini bukanlah angka kecil. Sejak penganjuran semula oleh pihak IRONMAN pada tahun 2014, kejohanan triatlon berprestij itu telah merekodkan nilai impak ekonomi terkumpul sekitar RM248 juta buat Langkawi di mana edisi 2025 sahaja menyumbang anggaran RM27.75 juta.

Bukan itu sahaja, LIHM yang bermula daripada inisiatif kecil komuniti tempatan pada 2022 turut mencatatkan pulangan pelaburan mencecah RM24.7 juta pada tahun 2025.

Malah, untuk edisi kelima pada Disember 2026 yang dijangka menarik sekitar 25,000 peserta dan pengunjung dengan unjuran ekonomi melonjak kepada RM34.5 juta!

Apa yang membuatkan acara ini begitu menguntungkan penduduk tempatan adalah budaya ‘RaceCation’ atau ‘RunCation’.

Menurut Pengarah Perlumbaan IRONMAN Malaysia, Fauzy Famir, serta Pengarah Perlumbaan LIHM, Shahrizan Saad, atlet yang hadir jarang datang bersendirian.

Mereka tiba beberapa hari lebih awal bersama keluarga dan jurulatih untuk penyesuaian diri, sebelum melanjutkan percutian selepas tamat perlumbaan.

Kesannya? Hotel, homestay, kereta sewa, restoran sehinggalah ke kedai runcit kecil di kampung-kampung semuanya menikmati limpahan rezeki.

Daripada 20 Pelari Kampung Ke Pengiktirafan Dunia

Menariknya, kedua-dua kejohanan ini mempunyai pencapaian global yang cukup membanggakan negara:

Renang Terbaik Dunia (IRONMAN): Menerusi IRONMAN Athletes’ Choice Awards 2025, IRONMAN Malaysia dinobatkan sebagai tempat pertama dunia bagi kategori pengalaman renang terbaik (jarak penuh), manakala IRONMAN 70.3 Langkawi meraih tempat kedua dunia.

Slot Habis Dalam 1 Jam (LIHM): Bermula daripada impian 20 orang pelari komuniti Langkawirunners pada 2022 (dengan hanya 2,200 peserta), LIHM kini diiktiraf dengan World Athletics Road Race Label menjadikannya acara separuh maraton pertama di Malaysia menerima pengiktirafan badan induk dunia itu.

Sempena edisi 2026, sebanyak 150,420 peranti direkodkan beratur dalam talian untuk merebut 7,503 slot yang akhirnya habis ditempah dalam masa kira-kira satu jam sahaja!

Gabungan Alam Semula Jadi Dan Fasiliti Bertaraf Antarabangsa

Mengapa pelari dan triatlet dari puluhan negara sanggup terbang jauh ke Langkawi? Jawapannya terletak pada keunikan laluan dan fasiliti yang tiada di tempat lain.

Bagi peserta IRONMAN, cabaran berenang di perairan terbuka Pantai Tengah serta kayuhan dan larian merentasi bukit-bukau dalam cuaca tropika menjadi ujian mental terhebat.

Bagi peserta LIHM pula, laluan Mahsuri Ring di Ulu Melaka menyajikan pemandangan sawah padi berlatarbelakangkan gunung-ganang tatkala matahari terbit menepati tagline mereka, “Run at Sunrise, Chill in Paradise”.

Lebih istimewa, kedua-dua acara ini memanfaatkan kemudahan Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) sebagai hab operasi utama.

Bayangkan, peserta LIHM memulakan dan menamatkan larian di dalam dewan berhawa dingin yang mampu memuatkan sehingga 10,000 orang pada satu-satu masa!

‘Aura’ Orang Tempatan Dan Sokongan LADA

Bukan Sekadar Acara Larian, Ini Cara IRONMAN Dan LIHM Jana Ratusan Juta Ringgit Buat Langkawi

Di sebalik segala fasiliti moden dan cabaran teknikal, terdapat satu elemen yang membuatkan atlet antarabangsa sentiasa rindu untuk kembali ke Langkawi iaitu kemesraan masyarakat setempat.

Sorakan penduduk kampung di tepi jalan dan pembabitan ribuan belia sebagai sukarelawan (sekitar 1,250 sukarelawan bagi IRONMAN sahaja) mencipta suasana yang sukar ditandingi.

Kejayaan penganjuran berskala besar ini juga tidak mungkin berlaku tanpa peranan strategik Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama agensi keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang menjadi tulang belakang sejak hari pertama.

“LIHM bermula daripada sebuah impian kecil 20 pelari Langkawi untuk membawa dunia larian ke pulau ini.

Kejayaan ini bukan kejayaan penganjur semata-mata, tetapi merupakan kejayaan bersama seluruh masyarakat Langkawi yang kini memiliki produk sendiri ke persada dunia,” Shahrizan Saad.

Menurut  Fauzy Famir, kejayaan IRONMAN Malaysia bukan hanya diukur melalui jumlah atlet yang berjaya menamatkan perlumbaan, tetapi juga melalui pengalaman yang mereka bawa pulang, pengiktirafan antarabangsa serta manfaat ekonomi yang dapat dikongsi bersama masyarakat Langkawi.

Menerusi hala tuju LIHM yang kini menyasarkan pengiktirafan Elite atau Gold Label daripada World Athletics, serta penambahbaikan laluan baharu IRONMAN Malaysia bagi edisi 2026, jelas sekali Langkawi bukan lagi sekadar destinasi percutian santai malah muncul sebagai pentas sukan dunia yang membanggakan Malaysia.