Saingan BWF World Tour Finals 2024 akan bermula pada 11 Disember nanti yang menyaksikan lapan pemain atau pasangan terbaik sepanjang tahun akan berentap di Hangzhou, China.
Selain menjadi saingan terakhir bagi tahun 2024, World Tour Finals merupakan kejohanan dengan format berbeza berbanding yang dapat kita saksikan seperti kebiasaan dan tidak semua pemain dapat merasai pengalaman ini.

Baca Juga:
- Senarai Pemain Malaysia Yang Layak Ke BWF World Tour Finals 2024
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
- RASMI: Kenneth Jonassen Dilantik Ketua Jurulatih Perseorangan Negara
Ia menjadikan saingan tersebut sebagai antara kejohanan istimewa kerana daripada lapan yang layak, mereka akan diundi kepada dua kumpulan.
Perlu beraksi dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, pemain atau pasangan yang menghuni dua tangga teratas akan mara ke aksi separuh akhir.
Format yang hampir serupa dengan Sukan Olimpik tetapi ia hanya melibatkan lapan wakil sahaja bagi setiap kategori.
Ini bermakna pemain yang tewas pada perlawanan pertama masih belum tersingkir dan perlu bangkit pada dua lagi baki aksi peringkat kumpulan.
Di samping aksi lebih banyak dapat dilalui pemain, Persektuan Badminton Antarabangsa (BWF) turut menawarkan hadiah wang tunai yang cukup lumayan buat para pemain dalam kejohanan ini.
Ia jelas dapat disaksikan apabila pemain perseorangan lelaki dan wanita yang menamatkan saingan di kedudukan terakhir peringkat kumpulan akan membawa pulang wang tunai bernilai $15,000 (tukaran terkini RM66,975.08) manakala beregu lelaki, wanita dan campuran pula $17,500 (RM78,125.33).
Pemain yang menduduki tempat ketiga peringkat kumpulan bagi perseorangan lelaki dan wanita akan meraih wang tunai $27,500 (RM122,792.25 ) manakala beregu lelaki, wanita dan campuran pula dengan $32,500 (RM145,115.15).
Pemain yang terhenti perjalanan mereka di separuh akhir bagi semua acara akan menerima wang tunai bernilai $50,000 (RM223,257.90) manakala naib juara pula memperolehi $100,000 (RM446,489.73).
Hadiah lebih besar pastinya menanti pemenang apabila juara perseorangan lelaki dan wanita akan membawa pulang $200,000 (RM893,003.44) manakala juara beregu lelaki, wanita dan campuran pula bakal menerima $210,000 (RM937,658.17).
Satu galakan atau pemangkin semangat yang jelas menyemarakkan lagi para pemain untuk beraksi cemerlang dalam usaha memburu kejayaan pada pertandingan ini.
Selain daripada hadiah lumayan tersebut, BWF turut akan membayar semula kos penerbangan para pemain sekiranya mereka terbang ke Hangzhou dengan kelas ekonomi.