Kata-kata ‘padu’ yang diberikan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menjadi pencetus kebangkitan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika aksi final Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu (TFC) kelmarin.

Berdasarkan rakaman video yang dikongsikan menerusi laman instagram TMJ, jelas sekali kata-kata azimat baginda ketika di dalam bilik persalinan memberi semangat tambahan kepada para pemain Harimau Selatan untuk mempamerkan aksi terbaik sebelum turun ke padang.

Baca Juga:

“Hari ini adalah satu lagi hari kita akan mencipta satu sejarah. Ingat apa yang saya katakan semalam. Setiap orang perlu tunjukkan. Hari ini tiada siapa yang hilang, tak ada orang bayang-bayang.

“Kita di sini kerana anda semua tunjukkan perwatakan yang betul. Sebab itu kita berada di sini hari ini. Ingat, kelab ini sudah mencipta banyak sejarah, gelaran selepas gelaran, kemenangan selepas kemenangan, pencapaian selepas pencapaian.

“Kita berada di sini bukan kerana kelab yang hebat tetapi kerana perwatakan setiap individu yang berada dalam kelab ini. Itu sebabnya, faham! Sekarang dengar, kita Harimau Selatan. Jadi keluar ke sana dan berpesta dengan hebat,” katanya.

Kata-kata TMJ tersebut turut menarik perhatian warga maya yang memenuhi ruang komen laman instagram itu.

“Meremang bila kita mendengar kata2 Tuanku Mahkota Johor. Sangat memotivasikan diri! Salute!!,” – Nurul Bynoon

“Hebatnya cara TMJ bercakap. Lain macam bosku. Bravo!!! Proud!!!! Congratulations JDT!!!,” – jufazli_0110

“Salute Tuanku, Message delivered well dalam Bahasa and English..congratulations JDT,” – svr_77

JDT menewaskan Terengganu FC 3-1 sekali gus menyapu bersih empat piala yang dipertandingkan dalam Liga Malaysia musim ini.

Selain Piala Malaysia, skuad kendalian Tano Solari itu telah meraih gelaran juara Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala FA serta masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan setakat ini.