Kembalinya kehangatan aksi Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang ternyata memberi cabaran luar biasa buat para pemandu. Dalam sesi latihan bebas pertama, pelbagai reaksi mencuit hati dan penuh tekanan sempat dirakam menerusi radio komunikasi antara pemandu dan pasukan masing-masing.
Seksanya Tempat Duduk Panas dan Suhu Ekstrem
Antara yang paling mencuri tumpuan ialah aduan daripada pemandu pasukan Haas, Oliver Bearman. Beliau terpaksa menahan bahang luar biasa di dalam kokpit hingga mengadu kepada jurutera pasukannya.
“Tempat duduk dekat bahagian bawah belakang saya ni panas sangat!” adu Bearman.
Jurutera pasukannya lantas membalas ringkas bagi memastikan beliau kekal fokus, “Boleh bertahan lagi tak sampai sesi habis? Nanti kita periksa.”
Cabaran cuaca panas dan kelembapan tinggi di Malaysia turut dirasai Gabriel Bortoleto dari pasukan Audi. Pemandu muda itu menyifatkan cuaca di Sepang antara yang paling mencabar pernah dilaluinya.
“Ini suhu paling gila yang saya pernah rasa seumur hidup. Lagi panas daripada sesi latihan di Bahrain,” katanya menerusi radio.
Tayar Cepat Haus dan Isu Kesesakan Litar
Bukan sahaja fizikal pemandu yang teruji, malah prestasi jentera dan tayar turut terjejas. Pemandu Ferrari, Charles Leclerc, meluahkan rasa terkejut dengan kadar kehausan tayar di litar ini yang amat tinggi.
“Kadar kehausan tayar dekat sini memang melampau,” jelas Leclerc.
Sementara itu, Isack Hadjar yang memandu untuk Red Bull pula berdepan masalah kesesakan trafik di litar ketika cuba mencari ruang larian yang lancar.
“Tak ada ruang udara bersih langsung ke dekat litar yang punya lah besar ni?!” rungut Hadjar.
Sepang Tetap Ada Keistimewaan Tersendiri
Meskipun dihimpit pelbagai cabaran teknikal dan cuaca, tidak semua pemandu merungut.
Pemandu Mercedes, George Russell, tetap memuji keunikan susur galur Litar Sepang yang terkenal dengan kombinasi selekoh laju dan laluan lurus.
“Litar ni memang sangat hebat!” puji Russell teruja.
Sesi latihan pertama ini jelas membuktikan bahawa Litar Antarabangsa Sepang kekal sebagai salah satu litar paling mencabar di dunia, sama ada untuk ketahanan fizikal pemandu mahupun keupayaan kejuruteraan jentera.