Lamine Yamal telah diberi amaran bahawa dia mesti ‘mengambil tanggungjawab’ terhadap tubuh badannya apabila pengurus pasukan, Hansi Flick memberikan bayangan kemungkinan untuk memberi rehat kepada pemain sayap lincah Barcelona itu.
Bakat besar berusia 17 tahun itu telah menjadi sebahagian penting dalam kempen The Blaugrana pada musim ini dengan tampil dalam 39 perlawanan di semua pertandingan.
Baca Juga:
- Lamine Yamal Dedah Mahu Berada Dalam Satu Pasukan Dengan Tiga Pemain Ini
- Ini 10 Garis Panduan Diterapkan Hansi Flick Buat Kem Barcelona
- Osasuna Kemukakan Bantahan Terhadap Barcelona Kerana Menurunkan Inigo Martinez
Lebih tepat lagi, pemenang Euro 2024 itu telah bermain selama 3,181 minit pada musim ini bagi menjadikannya sebagai pemain kelima yang digunakan dengan kerap dibelakang Jules Kounde, Raphinha, Pedri dan Pau Cubarsi.
Beliau kini telah meledakkan 13 gol dan mencipta 17 bantuan gol yang nyata cukup mengagumkan sekali gus telah mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada cita-cita besar Barcelona untuk merangkul gelaran.
Sekiranya Lamine Yamal tidak tersenarai dalam kesebelasan utama menentang Girona pada malam ini, ia akan menjadi kali pertama dalam tempoh empat bulan beliau memulakan perlawanan dari bangku simpanan.
Kali terakhir beliau diletakkan di bangku simpanan adalah pada 30 November ketika menentang Las Palmas kerana beliau baharu sahaja pulih daripada kecederaan pergelangan kaki.
Nasihat Flick buat Lamine Yamal
“Menurut saya, Lamine sangat bijak dan tahu bagaimana untuk menguruskan permainan,” ujar Flick menurut sumber laporan Goal.
“Saya berbincang dengannya pagi tadi untuk mengetahui keadaannya dan dia sangat positif. Saya sentiasa bercakap dengan pemain.”
“Jika mereka rasa sesuatu (kecederaan atau sebagainya), mereka boleh datang dan memberitahu saya apa yang sedang berlaku kepada mereka.”
“Setiap pemain mempunyai tanggungjawab terhadap tubuh badan mereka. Jika berlaku sesuatu atau ada yang berbeza dari kebiasaan, mereka perlu bercakap.”
“Itu yang kami mahu kerana berdasarkan pengalaman saya sebagai pemain, jika anda perasan sesuatu dan tidak menjaganya, akhirnya sesuatu akan berlaku.
“Saya mahu pemain mengambil tanggungjawab terhadap tubuh badan mereka. Ia adalah perkara penting apabila bermain sebagai seorang profesional, di tahap seperti Barcelona,” tambah Flick lagi.