Kehadiran Hansi Flick dalam membimbing Barcelona dilihat sudah mula menampakkan hasil positif buat kelab saingan LaLiga tersebut.

Ia jelas dibuktikan apabila Barcelona mendahului juara bertahan, Real Madrid dengan kelebihan enam mata hasil 10 kemenangan dan satu kekalahan.

Baca Juga:

Malah, Barcelona turut cemerlang membelasah musuh tradisi mereka itu 4-0 pada aksi El Clasico di Santiago Bernabeu, minggu lalu.

Sehubungan dengan prestasi mantap dipamerkan, ramai melihat kehadiran Flick jelas tepat pada masanya untuk mengembalikan zaman kegemilangan Barcelona berbekalkan deretan bakat muda berkelas dunia dimilikinya pada ketika ini.

Selain daripada elemen tersebut, pengendali kelahiran Jerman itu turut memperkenalkan 10 garis panduan atau undang-undang yang perlu diikuti kesemua pemainnya, menurut sumber laporan AS.

Antara undang-undang  yang diterapkan oleh Hansi Flick bersama Barcelona ialah:

1) Kepentingan menepati masa

Flick amat menitikberatkan aspek penjagaan masa dalam kalangan pemainnya. Beliau mahu semua pemain memulakan ‘kerja’ mereka 90 minit sebelum sesi latihan bermula.

Oleh itu, mereka perlu berada di Ciutat Esportiva Joan Gamper (Pusat Latihan Barcelona) selewat-lewatnya jam 9.30 pagi dan wajib bersarapan di sana.

2) Mengambil data berat badan setiap hari

Semua pemain ditimbang setiap hari sebelum memulakan sesi latihan. Kaedah ini merupakan kesinambungan daripada apa yang dilakukan sebelum ini oleh pengurus terdahulu, Luis Enrique.

3) Wajib makan di kantin Ciutat Esportiva

Pemain mesti makan di kantin Ciutat Esportiva dengan makanan yang disediakan oleh pakar pemakanan pasukan utama iaitu Silvia Tremoleda. Ini adalah wajib dan tiada pengecualian buat semua.

4) Sesi ‘activation’ hari perlawanan

Pemain  perlu untuk turun ke sesi pemanasan pada hari perlawanan. Ini adalah rutin yang sebelum ini dihentikan oleh Xavi tetapi sesuatu yang diyakini Flick sebagai ‘sangat penting’.

5) Perjumpaan di hotel pada hari perlawanan

Pemain mesti berkumpul di hotel pasukan pada hari perlawanan walaupun permainan diadakan di tempat sendiri. Ini untuk mengelakkan sebarang masalah saat akhir seperti kesesakan trafik atau isu-isu lain.

6)  Tiada lagi penerbangan lewat malam

Flick jauh lebih berhati-hati apabila pulang dari perlawanan di tempat lawan.

Kem Barcelona akan bermalam di tempat lawan sekiranya perlawanan bermula pada pukul 9 malam atau lebih lewat atau jika masa penerbangan melebihi 90 minit.

Hal ini kerana beliau mahu pemainnya berehat selepas perlawanan dan tidak pulang ke rumah dalam keadaan keletihan pada tengah malam.

7) Sesi latihan yang cukup intensif

Flick dikenali kerana menuntut intensiti daripada pemainnya ketika sesi latihan dan ini adalah bahagian penting dalam latihan.

Sesi latihan ini menunjukkan tahap setiap pemain dengan data GPS yang dinilai selepas itu.

8) Tiada lagi hukuman denda

Flick telah menghentikan sebarang hukuman denda yang sebelum ini digunakan oleh Xavi, dan sebarang jenis cabaran motivasi.

Beliau menganggap pemainnya sebagai profesional dan oleh itu sedar apabila mereka tidak memerlukan hukuman sedemikian dan perlu sedar tanggungjawab masing-masing.

9) Sekatan cuti

Pemain Barcelona tidak akan mendapat banyak cuti di bawah kendalian Flick dengan dimana beliau juga bukanlah penggemar cuti.

Skuad utama kebiasaannya akan mendapat cuti satu hari seminggu, walaupun Flick akan mengambil kesempatan daripada rehat antarabangsa untuk menawarkan sedikit lebih kebebasan buat anak buahnya.

10) Hubungan profesional dengan pemainnya

Flick mengekalkan hubungan profesional dengan pemainnya berdasarkan ‘rasa hormat dan komitmen’.

Dia sentiasa bersedia untuk pemainnya jika mereka perlu bercakap dengannya, cuba bersikap adil dan tidak akan ‘bertolak ansur dengan sebarang campur tangan’.

Sumber