Pertahanan kental Borussia Dortmund, Niklas Sule mendedahkan  beliau akan bersara daripada kancah bola sepak profesional sebaik sahaja berakhirnya musim 2025/26.

Perkembangan terkini itu disahkan sumber laporan Goal selepas Sule melihat sudah tiba masanya untuk mengundurkan diri daripada dunia bola sepak walaupun pada usia 30 tahun.

Keputusan itu dibuat Sule kerana tidak mahu dirinya mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) buat kali ketiga dalam kariernya.

Sule pernah menjulang UEFA Champions League sebagai sebahagian daripada kejayaan treble bersejarah bersama Bayern Munich pada musim 2019/20.

Fasa akhir kariernya adalah  bersama Borussia Dortmund selepas menyertai kelab itu pada tahun 2022.

Niklas Sule Enggan ‘Sengsara’ Lagi

“Saya ingin mengumumkan bahawa saya akan menamatkan kerjaya saya pada musim panas ini.”

“Apabila doktor pasukan kami melakukan drawer test [ujian untuk mengesan kemungkinan koyakan ACL] di bilik persalinan di Hoffenheim, dia memandang fisioterapis pasukan dan menggelengkan kepala.”

“Kemudian fisioterapis pula melakukannya dan juga tidak merasakan sebarang rintangan, saya terus masuk ke bilik mandi dan menangis selama 10 minit. Ketika itu, saya benar-benar terfikir: ‘Ia sudah koyak’.”

“Apabila saya menjalani MRI pada keesokan harinya dan menerima berita baik [bahawa ia bukan koyakan ACL], ia menjadi sangat jelas bagi saya, seratus peratus bahawa semuanya sudah berakhir.”

“Saya tidak dapat membayangkan sesuatu yang lebih buruk daripada menantikan kehidupan menjadi berdikari, pergi bercuti, meluangkan masa bersama anak-anak saya tetapi kemudian perlu berdepan dengan koyakan ligamen cruciate saya yang ketiga,” tambah Niklas Sule lagi.

Sumber