Kisah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mesra menyantuni rakyat bukanlah satu perkara asing di sini.
Bagaimanapun perkara itu merupakan satu pengalaman yang luar biasa buat sepasang kekasih dari Amerika Syarikat (AS) yang berkesempatan berjumpa dengan YDPA Agong dan Raja Permaisuri Agong di Cameron Highlands.
Baca Juga:
- ‘Salt Bae’ Kongsi Keterujaan Di Instagram Bergambar Bersama Yang di-Pertuan Agong Di Qatar
- Kena ‘Pickup Line’ Di Twitter,Netizen Terhibur Jawapan Ringkas Puteri Bongsu YDP Agong
- Yang Di-Pertuan Agong Periksa Kemalangan Di Dua Lokasi Berbeza Sekitar Putrajaya
Kyle dan Madie yang berkongsi pengalaman tersebut melalui saluran YouTube menyatakan mereka langsung tidak menyangka dapat berjumpa dengan ketua negara Malaysia di lokasi seperti itu.
Menurut pasangan AS tersebut, mereka sedang makan tengah hari di sebuah restoran dan melihat banyak kereta polis dan kereta pengiring berada di jalan raya bersebelahan. Orang ramai yang ada berhampiran Kyle dan Maddie menyatakan ketua negara (YDPA Agong) sedang melalui jalan tersebut.
Madie menghampiri kenderaan yang dipandu sendiri oleh YDPA Agong untuk merakam situasi ‘luar biasa’ itu lebih dekat lagi.
YDPA Agong perasan dengan kehadirannya lalu menegur Madie bertanya wanita mat saleh itu datang dari mana dan bercuti berapa lama di Malaysia. Tuanku juga memuji kamera yang digunakan oleh Madie ketika itu.
Madie diberitahu bahawa YDPA Agong dan Raja Permaisuri Agong berada di kawasan itu selepas menghadiri majlis perkahwinan dan berhenti seketika untuk menyantuni rakyat.
Setakat artikel ini ditulis, video tersebut telah mendapat lebih 300,000 tontonan, serta hampir 700 komen. Kyle dan Madie sangat teruja apabila membaca pengalaman penonton video mereka yang turut berpeluang untuk berjumpa dengan YDPA Agong dan Raja Permaisuri Agong sebelum ini.
“Ini kali pertama saya berasa sangat teruja dengan individu yang saya tidak pernah tahu, tidak pernah kenal sepanjang hidup saya.
“Tak sangka ketua negara Malaysia dan isterinya sangat mesra dengan rakyat. Ianya satu pengalaman yang sangat luar biasa,” ujar Madie.