Setiap kali jendela perpindahan pemain dibuka, semua pasukan bola sepak di dunia tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan pemain baharu bagi memperkuatkan skuad masing-masing.

Tidak terkecuali juga pasukan dalam Liga Malaysia meskipun sebahagian daripadanya terus dibelenggu masalah kewangan yang serius.

Kita lupakan situasi di Malaysia dan beralih ke saingan bola sepak Eropah. Di sebalik kelab yang berbelanja besar, terdapat juga pasukan yang menjadikan jendela perpindahan sebagai peluang untuk menjana keuntungan luar biasa.

Antara contoh terbaik dalam bola sepak moden ialah gergasi Portugal, Benfica. Dalam tempoh lima tahun terakhir, Benfica muncul sebagai salah satu kelab paling ‘masyuk’ hasil daripada penjualan pemain, dengan nilai perpindahan mencecah ratusan juta euro.

Mengikut sumber laporan CIES Football Observatory, kelab ini secara konsisten berjaya melahirkan, membangunkan dan menjual pemain pada nilai tinggi kepada kelab gergasi Eropah.

Benfica merekodkan keuntungan bersih sebanyak €346 juta hasil daripada aktiviti jual beli pemain sepanjang tempoh lima tahun atau bersamaan 10 jendela perpindahan.

Ia menjadikan pendapatan tertinggi dengan LOSC Lille di keduduka kedua dengan €273 juta, Ajax ketiga (€270 juta), keempat RB Salzburg (€242) dan kelima AS Monaco dengan €210 juta.

Menurut CIES lagi, semua data yang digunakan merangkumi klausa bonus, bayaran tambahan (add-ons), serta peratusan jualan semula pada masa hadapan, tanpa mengambil kira sama ada jumlah tersebut telah dibayar sepenuhnya atau belum.

Ia tidak termasuk perpindahan Joao Felix ke Atletico Madrid yang bernilai €127.20 juta dan Ruben Dias ke Manchester City dengan  €71.60 juta yang dilakukan lebih awal.

Strategi mereka jelas, melahirkan serta mendapatkan pemain muda berpotensi tinggi dengan harga rendah, memberi ruang untuk berkembang dan menjual pada harga premium ketika nilai pasaran berada di kemuncak.

Berikut merupakan antara pemain yang dijual Benfica dalam tempoh lima tahun terakhir (bermula musim 2021/22):

Pemain Bola Sepak Benfica Yang Berhijrah

1) Enzo Fernandez ke Chelsea pada 2022/23 – €121 juta

2) Darwin Nunez ke Liverpool pada 2022/23 – €85 juta

3) Joao Neves ke PSG pada 2024/25 – €65.92 juta

4) Goncalo Ramos ke PSG pada 2023/24 – €65 juta

5) Alvaro Carreras ke Real Madrid pada 2025/26 – €50 juta

6) Marcos Leonardo ke Al-Hilal pada 2025/26 – €40 juta

7) David Neres ke SS Napoli pada 2024/25 – €28 juta

8) Karim Akturkoglu ke Fenerbahce pada 2025/26 – €22.50 juta

9) Pedrinho ke Shakhtar Donetsk pada 2021/22 – €18 juta

10) Roman Yaremchuk ke Club Brugge pada 2022/23 – €17 juta

11) Everton ke Flamengo pada 2022/23 – €16.50 juta

12) Jota ke Celtic pada 2022/23 – €16.20 juta

13) Gedson Fernandes ke Besiktas pada 2022/23 – €16 juta

14) Arthur Cabral ke Botafogo pada 2025/26 – €12 juta

15) Luca Waldschmidt ke Wolfsburg pada 2021/22 – €12 juta

Secara keseluruhan, Benfica menjana lebih €585 juta hasil jualan daripada 15 pemain ini sahaja, membuktikan keupayaan luar biasa kelab tersebut dalam memaksimumkan nilai pemain.

Dalam era bola sepak moden yang semakin dipengaruhi kuasa kewangan, Benfica membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya bergantung kepada perbelanjaan besar.

Sebaliknya, strategi pembangunan pemain yang betul, kesabaran serta disiplin dalam pasaran perpindahan sudah cukup untuk menjadikan mereka antara kelab paling efisien dan menguntungkan di dunia.