Sering kali apabila kita menonton aksi bola sepak di Eropah, pemain bola sepak dilihat akan membuang semula air yang mereka minum.

Situasi itu mungkin kelihatan pelik kepada sebahagian besar penonton. Mengapa perlu minum jika akhirnya diludah semula?

Namun, amalan tersebut sebenarnya bukan sekadar tabiat biasa. Ia merupakan sebahagian daripada strategi sains sukan yang diamalkan oleh pemain bola sepak.

Ini Sebab Pemain Bola Sepak Dan Atlet Sukan Lain Lakukannya

Bekas penyerang yang berpengalaman di pentas English Premier League (EPL), Hal-Robson Kanu tampil untuk berkongsikan tentang perkara tersebut.

Tindakan tersebut pada asasnya membolehkan mereka mendapatkan rangsangan gula tanpa memberi kesan negatif kepada tubuh.

Dengan meludahkannya semula dan tidak menelan minuman itu, mereka dapat mengelakkan rasa perut penuh ketika beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi.

Namun pada masa sama, mereka tetap memperoleh rangsangan tenaga tersebut sekali gus membantu mengurangkan keletihan.

“Ramai pemain bola sepak akan berkumur dengan Lucozade (minuman tenaga) di dalam mulut mereka, meludahkannya semula dan kemudian pergi makan pisang.”

“Kerana mereka juga tahu pengambilan gula Lucozade dalam bentuk itu sebenarnya tidak begitu baik untuk tubuh,” ujar Robson Kanu mendedahkan hakikat tersebut dalam akaun TikTok peribadinya.

“Namun dari sudut sensori, dengan hanya berkumur di dalam mulut, anda seolah-olah mendapat ‘rangsangan’ gula tersebut tanpa perlu ia melalui sistem penghadaman terlebih dahulu.”

Dalam kapsyen yang dimuat naiknya, Hal Robson-Kanu menjelaskan bahawa teknik hidrasi yang diamalkan pemain sebenarnya melangkaui sekadar minum air semata-mata, dan minuman tertentu diambil pada waktu-waktu khusus dengan tujuan yang jelas.

Beliau turut menambah bahawa pilihan minuman mereka dipengaruhi oleh ‘manfaat psikologi yang boleh diberikan oleh cecair tertentu dari segi tenaga dan kejelasan mental’, dan keputusan-keputusan seperti itu kadangkala mampu menjadi ‘penentu perlawanan’.

Dalam bola sepak moden dan sukan lain juga yang penuh dengan analisis terperinci dan pencarian kelebihan kecil, teknik seperti ini mungkin kelihatan remeh. Namun pada tahap tertinggi, perbezaan kecil seperti inilah yang mampu memisahkan antara kemenangan dan kekalahan.