Ketika musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 memasuki fasa penentuan, keyakinan mula menyelubungi kem Arsenal.
Ketika aksi hanya berbaki dua perlawanan, Arsenal mendahului pencabar terdekat, Manchester City dengan kelebihan satu mata.
Namun ketika itu, The Cityzens masih kekurangan satu perlawanan berbanding Arsenal dan perlu menghadapi tiga kelab London iaitu Fulham, Tottenham Hotspur dan West Ham City.
Melihatkan kepada perkembangan tersebut, The Gunners dikatakan sudah mula merancang sesuatu yang hanya dilakukan oleh pasukan yang benar-benar percaya mereka hampir menjadi juara.
Menurut laporan The Standard pada 10 Mei 2024, Arsenal telah menetapkan tarikh perarakan trofi sekiranya mereka berjaya menamatkan kempen di tangga teratas.
Perarakan tersebut dijadual berlangsung pada 20 Mei, sehari selepas perlawanan terakhir liga menentang Everton di Emirates Stadium.
Seperti tradisi kelab-kelab besar Eropah, bas khas akan membawa pemain melalui jalan-jalan sekitar kawasan mereka.
Mengikut perancangan, perarakan tersebut bakal bermula jam 5 petang di Emirates Stadium melalui ‘Town Hall’ di Upper Street Islington, London.
Antara kawasan yang akan dilalui ialah Drayton Park, Aubert Park, Highbury Grove, St Paul’s Road dan kembali semula ke Emirates Stadium, dua jam kemudian.
Laluan sama digunakan oleh kelab tersebut ketika menjuarai EPL 2003/04 dibawah kendalian Arsene Wenger yang menyaksikan mereka muncul selaku juara ‘Invincibles’ (tanpa sebarang kekalahan liga).
Akhirnya Arsenal Hampa
Namun hasrat itu tidak mampu untuk direalisasikan selepas Manchester City tidak melepaskan sebarang mata dengan kemenangan 4-0 ke atas Fulham, 2-0 menundukkan Tottenham dan aksi terakhir menundukkan West Ham United 3-1.
Kecemerlangan yang akhirnya sekali lagi menobatkan skuad kendalian Pep Guardiola itu sebagai juara.
Arsenal, yang telah melakukan hampir segala-galanya dengan betul sepanjang musim, terpaksa akur menamatkan kempen di tangga kedua.
Tarikh perarakan yang pernah dirancang itu akhirnya hanya tinggal sebagai simbol keyakinan dan pada masa yang sama, peringatan betapa kejamnya perlumbaan merebut kejuaraan EPL.
Ia bukan kali pertama Arsenal begitu hampir.
Adakah musim ini juga bakal berlaku perkara yang sama? Menarik untuk kita saksikannya!