Iran melancarkan serangan ke arah Israel selepas berikrar untuk membalas dendam akibat daripada serangan maut ke atas kedutaannya di Damsyik, Syria oleh tentera Zionis.

Israel tidak pernah mengaku bahawa mereka bertanggungjawab ke atas serangan itu, tetapi ramai percaya bahawa mereka adalah ‘tangan-tangan’ di sebalik serangan itu.

Menurut BBC, sebelum ini Israel dan Iran telah terlibat dalam ‘perang bayangan’ selama bertahun-tahun, di mana kedua-dua negara menyerang aset masing-masing tanpa mengaku untuk bertanggungjawab.

Serangan ini meningkat dengan tinggi semasa perang di Gaza yang dicetuskan oleh serangan kumpulan Palestin Hamas ke atas masyarakat Israel pada Oktober lalu.

Mengapa Israel dan Iran bermusuh?

Kedua-dua negara adalah sekutu sehingga revolusi Islam 1979 di Iran, yang melahirkan rejim yang menentang Israel.

Iran tidak mengiktiraf hak Israel untuk ada atau wujud dan berusaha untuk menghapuskannya.

Pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, sebelum ini menggelar Israel sebagai ‘kanser barah’ yang ‘pasti akan dicabut dan dimusnahkan.’

Sementara itu, Israel percaya bahawa Iran menimbulkan ancaman sebenar seperti yang dibuktikan oleh retorik Tehran.

Ini termasuk penciptaan pasukan proksi yang berikrar untuk memusnahkan Israel, pembiayaan dan mempersenjatai kumpulan Palestin termasuk Hamas dan kumpulan militan Syiah Lubnan Hizbullah, dan usaha rahsia untuk membuat senjata nuklear, walaupun Iran menafikan cuba membuat bom nuklear.

Iran mahu membalas serangan Israel

Iran berkata serangan ke atas Israel adalah tindak balas kepada serangan udara 1 April ke atas bangunan kedutaan Iran di Syria yang membunuh seorang komander kanan Iran.

Iran menyalahkan Israel atas serangan udara itu, yang dianggapnya sebagai pencabulan kepada kedaulatan negara tersebut.

Tiga belas orang terbunuh, termasuk Brigedier Jeneral Mohammad Reza Zahedi – komander kanan pasukan Quds, cawangan elit luar negara Iran bagi Pengawal Republik (IRGC).

Beliau telah menjadi tokoh penting dalam operasi Iran untuk membantu kumpulan bersenjata Syiah Lubnan, Hizbullah.

IRGC menyalurkan senjata dan peralatan, termasuk peluru berpandu melalui Syria ke Hizbullah.

Israel cuba menghentikan penghantaran ini, serta cuba menghalang Iran daripada mengukuhkan kehadiran tenteranya di Syria.

Menurut CNN, lebih daripada 300 peluru – termasuk sekitar 170 dron dan lebih daripada 120 peluru berpandu balistik – dilepaskan ke arah Israel dalam serangan udara besar-besaran semalam.

Bagaimanapun, menurut tentera Israel, ‘99%’ daripadanya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel dan sekutu, dan hanya sebilangan kecil yang berjaya sampai ke wilayah Israel.

Sumber