Penyerang Vietnam, Nguyen Xuan Son menunjukkan semangat kesukanan tinggi pada aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 yang berlangsung malam tadi.

Pada aksi bertemu Singapura itu, Xuan Son yang merupakan pemain naturalisasi telah bertindak memberikan laluan kepada rakan sepasukannya, Nguyen Tien Linh untuk mengambil sepakan penalti pada lewat permainan.

Baca Juga:

Meskipun hanya satu gol untuk melengkapkan hatrik pada perlawanan itu dan dapat menjarakkan lagi jumlah golnya berbanding Tien Linh bagi kedudukan penjaring terbanyak kejohanan, Xuan Son tidak menghiraukan keadaan tersebut.

Perkara itu turut dilakukan oleh Xuan Son pada aksi pertama di Stadium Jalan Besar apabila beliau membiarkan Tien Linh mengambil sepakan penalti untuk gol pertama Vietnam.

Satu sifat yang cukup baik yang bukan sahaja menaikkan moral rakan sepasukannya itu tetapi dapat memperkukuhkan lagi harmoni pasukan.

Selepas tamat perlawanan di Stadium Wilayah Phu Tho itu, Xuan Son mengumpul lima jaringan selaku penjaring terbanyak manakala Tien Linh dengan empat gol di kedudukan kedua bersama Shawal Anuar dari Singapura.

Manakala trio pemain Thailand iaitu Patrik Gustavsson, Suphanat Mueanta dan Teerasak Poeiphimai mengekori dengan tiga gol.

“Saya tidak perlu menjaringkan banyak gol,” ujar Xuan Son menurut sumber laporan VN Express.

“Fokus pada kemenangan keseluruhan untuk pasukan adalah perkara yang paling penting buat saya.”

“Saya rasa memberikan sepakan penalti itu menunjukkan hubungan dalam pasukan. Tien Linh juga seorang penyerang berkualiti, kami menjaringkan gol bersama-sama.”

“Ini baik untuk semangat, menunjukkan tekad yang tinggi, membantu pasukan mencapai kemenangan untuk ke perlawanan akhir,” tambah Xuan Son lagi.