Sejak akhir akhir ini, susut nilai pada nilai matawang ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) kerap menjadi isu panas.

Sehinggakan google pun tidak memaparkan secara terus kadar tukaran wang RM kepada USD di dalam carian mereka.

Baca Juga:

Ini selepas pihak Bank Negara Malaysia beberapa kali mengkritik kiraan pada google tersebut sebagai mengelirukan dan tak tepat.

Bank Negara Malaysia Beri Penjelasan Isu Kadar USD Yang Mencecah RM6.24 Di Google

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ‘kuasa’ RM semakin melemah berbanding USD.

Namun terbaru, Bernama melaporkan bahawa, RM meningkat semula untuk dibuka tinggi berbanding USD.

Hal ini kerana berlaku beberapa aktiviti jualan dalam mata wang Amerika Syarikat (AS) itu, kata penganalisis kepada portal Bernama seperti dilaporkan oleh Buletin TV3.

Menurut laporan, pada 9 pagi tadi nilai ringgit meningkat naik kepada 4.7380/7415 berbanding dolar AS daripada 4.7545/7575 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS susut setelah Indeks Pengurus Pembelian Institut Pengurusan Bekalan (ISM) di Amerika Syarikat yang lebih rendah daripada jangkaan untuk sektor bukan pembuatan.

Di mana nilainya berada di bawah jangkaan pada 51.4 mata berbanding anggaran konsensus sebanyak 52.8 mata.

Dipetik dari sumber Buletin TV3, Afzanizam berkata: “Data terkini telah mendorong pelabur untuk menyimpan keuntungan dalam dolar AS berikutan Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka mengambil lebih banyak masa untuk menurunkan kadar.

“Bagaimanapun, keadaan masih kabur sama ada pembetulan dalam dolar AS akan mampan.”