Perlantikan penyanyi tersohor Malaysia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCCed) telah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan warga maya.

Kebanyakan warga maya berpendapat penyanyi nombor satu tanah air itu tidak memiliki kelayakan dari segi ijazah atau phD dan hanya berkelulusan pangkat 2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, bekas pengurus CCE Universiti Tun Abdul Razak ini tampil menjelaskan apa itu UMCCed dan sebab Siti Nurhaliza layak dilantik sebagai pakar dalam bidangnya.

“Ramai orang Melayu yang tak tahu kewujudan UMCCed ini. Apakah sebenarnya UMCCed?

“UMCCed ialah University Malaya Centre for Continuing Education. Core responsibility adalah dalam ‘Life Long Learning’ ataupun dalam Bahasa Melayunya ialah Pembelajaran Sepanjang Hayat,” jelas Abdullah Pak Lah menerusi laman facebooknya.

Ini Sebab Siti Nurhaliza Layak Dipilih Sebagai Pakar Di UMCCed

Menurut Abdullah, perlantikan Siti Nurhaliza sebagai Pakar di UMCCed tidak ada kaitan dengan keputusan SPM dan ia bersandarkan kepada pengalaman luas penyanyi itu dalam industri muzik.

“Ramai juga yang kutuk Siti, kerana apa? kerana mereka fikir UM tidak ada Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat. Dan Dato’ Siti yang hanya dapat Gred 2 SPM tidak layak mendapat penghormatan tersebut.

“Kebanyakkan yang mengutuk adalah mereka yang tidak pernah mengambil sebarang subjek dalam Life Long Learning mahupun memahami konsep apa itu Life Long Learning.

“Banyak universiti sebenarnya yang menawarkan kursus ini, Universiti Tun Abdul Razak dan Open University Malaysia adalah antara universiti terulung yang menawarkan pembelajaran sepanjang hayat ini. Banyak kursus yang ditawarkan.

“Terdapat perbezaan antara Fakulti Pendidikan, UM dengan UMCCED. UMCCED itu bukan Fakulti Pendidikan di UM.
UMCCED ini dikhaskan untuk orang yang bekerja lama dalam industri dan nak sambung belajar bagi dapatkan sijil atau Diploma Eksekutif, Degree Eksekutif, Master Eksekutif dan PhD Eksekutif.

“UMCCED bukan untuk aliran kerjaya akademik. Lebih kepada aliran kerjaya industri. Kebiasaannya, yang sambung UMCCED ini mereka yang dah ada kerjaya profesional tapi tidak ada kelulusan secara akademik.

“Kebanyakkan ambil sijil dan eksekutif diploma untuk mendapatkan kredibiliti dan pengiktirafan dalam industri contohnya untuk kenaikkan pangkat dan banyak lagi perkara lain,” tambahnya.

Berdasarkan pencapaian dan kepakaran Siti Nurhaliza dalam vokal, sudah tentunya dia layak dilantik sebagai pakar dalam bidang berkaitan muzik supaya pengalaman luasnya dapat dikongsikan kepada pelajar baharu.