Ketika ini terdapat kumpulan Gerakan Selamatkan Kelantan FC (GSK) yang terdiri daripada beberapa pelabur pasukan itu bertujuan untuk mendesak Norizam Tukiman melepaskan kelab tersebut.

GSK mahu mendapatkannya dengan harapan untuk membina semula pasukan TRW Kelantan FC.

Baca Juga:

Menurut laporan Berita Harian, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menawarkan Kelantan FC dengan harga RM1 dengan syarat pasukan mestilah berada kelompok lima terbaik dalam masa lima tahun.

“Saya sayangkan TRW, tetapi bila dipaksa, saya berikan mereka pilihan nak beli RM3 juta atau RM1. Kalau mahu RM1, kenalah tampilkan aksi terbaik dahulu baru rasa berbaloi jual pada harga RM1.

“Saya beli pun masa (tahun) 2020 RM6.8 juta, langsung tiada apa-apa aset dan keadaannya lagi teruk,” katanya kepada Berita Harian.

Namun, jika tidak mencapai KPI, maka TRW akan diambil alih semula oleh Zamsaham dan perkara itu perlu ‘sign personal guarantee’ hutang dan tanggungan selepas lima tahun adalah kurang atau tidak lebih dari jumlah sekarang.

Pengerusi GSK, Nik Hafiz Naim Nik Hassan menyifatkan syarat Zamsaham tidak masuk akal dan kekal dengan pendirian untuk mengambil alih pasukan itu dengan RM1 bersama tanggungan hutang kurang RM5 juta.

“Mengenai tawaran Zamsaham menawarkan Kelantan FC dengan harga RM1 dengan syarat pasukan mestilah dalam kelompok lima terbaik dalam masa lima tahun adalah tidak realistik kerana pasukan ini akan menjadi pasukan yang baru dibina dan akan mengambil masa untuk mencari rentak dan persefahaman antara pemain.

“GSK menolak tawaran Zamsaham menjual Kelantan FC sebanyak RM3 juta kerana Kelantan FC menanggung bebanan dan hutang yang besar iaitu kurang dari RM5 juta.

“Selain itu TRW Kelantan FC tidak mempunyai apa-apa nilai sekarang ini disebabkan kelab tidak bermain di mana-mana liga dan tidak mempunyai apa-apa aset,” kata Nik Hafiz Naim.