Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengalami kerugian besar selepas kelabnya dianggap sudah tidak mempunyai apa-apa nilai.

Menurut laporan Sinar Harian, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, kegagalan untuk menyertai mana-mana saingan liga menyebabkan pasukan itu tidak mempunyai sebarang nilai.

Ini membuatkan segala wang yang dikeluarkan oleh Zamsaham ketika membeli TRW Kelantan dan biaya yang dikeluarkan ketika pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Malaysia menjadi sia-sia.

“Kalau nak jual sekarang memang tidak ada orang nak beli atau kena lepaskan dengan harga sangat murah.

“Pemilik baharu juga kena melalui banyak proses seperti pelesenan dan sebagainya untuk membolehkan Kelantan kembali beraksi dan saya fikir tidak ada orang yang sanggup mengambilnya,” katanya.

Sebelum ini, Kelantan sah menarik diri dari saingan Liga A1 Semi Pro MBSB Bank Championship musim 2024.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Norizam Tukiman di laman Facebook rasmi kelab tersebut, Kelantan memilih untuk menarik diri kerana mahu memberikan tumpuan dalam menyelesaikan beberapa isu terutamanya melibatkan tunggakan gaji pemain.

Kelantan sebelum ini tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Super 2024 selepas tidak mendapat Lesen Kebangsaan ekoran kegagalan melengkapkan pembayaran berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Skim Insurans Pekerja (EIS).

Keadaan yang menyaksikan skuad Gomo Kelate Gomo itu terpaksa beraksi dalam saingan Liga A1 Pro tetapi segalanya tampak tidak berjalan dengan lancar.

“Selepas pertimbangan yang teliti, keutamaan pasukan ketika ini adalah untuk menyelesaikan terlebih dahulu isu dalaman pasukan seperti menyelesaikan baki gaji pemain musim lepas yang masih tertunggak serta menyelesaikan kes-kes FIFA bagi membersihkan nama baik pasukan Kelantan FC.

“Kami percaya, menyelesaikan kewajipan isu tunggakkan gaji adalah penting sebelum memulakan sebarang usaha baru. Oleh itu, dengan hati yang berat tetapi dengan rasa tanggungjawab yang jelas, Kelantan FC telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan MBSB Bank Championship Musim 2024,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.