Salah seorang bekas pemain TRW Kelantan mendakwa pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau Zamsaham masih belum melunaskan tunggakan gaji pemain daripada skuad yang beraksi di saingan Liga Malaysia musim lalu.

Bekas pemain yang dimaksudkan ialah Syed Sobri dimana menerusi laman media sosial Instagram miliknya menegaskan Norizam belum melunaskan tunggakan gaji pemain serta menghilang tanpa jejak setakat ini.

Baca Juga:

“Ini orang (Norizam) jenis buka mulut je berbual. Dah la tak sedar mulut tu dah penuh dengan lipas, nyamuk dan pelbagai bakteria bual. Satu sen tak bayar lagi. Entah kemana hilang tak tahu ayah bual ni,” kata Syed Sobri.

Sebelum ini, bekas penjaga gol pasukan iaitu Irfan Haikal Iffendi berkongsi memori pahit yang dialami oleh beliau dan rakan sepasukan sepanjang bergelar pemain TRW Kelantan.

Penjaga gol muda itu berkongsi pengalamannya bersama wartawan ternama, Zulhelmi Zainal Azam yang disiarkan di laman YouTube Astro Arena dimana beliau menceritakan detik sedih ketika menghadapi isu tunggakan gaji musim lalu.

“Pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan adalah apabila saya bersama rakan baik dan sebilik, Leonardo Rolon tidak mempunyai wang pada suatu hari dengan hanya kira-kira RM9 dimiliki kami.

“Saya berbincang dengan dia sebelum saya pergi ke kedai dan membeli makanan. Jadi, dengan duit tidak mencukupi, saya hanya beli nasi sebungkus dan kongsi bersamanya,” katanya.

Zamsaham menegaskan skuad The Red Warriors akan tetap bertanding dalam saingan Liga M3 musim ini sekaligus menepis khabar angin yang mengatakan mereka akan menarik diri.

Kelantan FC gagal meraih Lesen Kebangsaan ekoran masalah kewangan yang tidak berkesudahan sekaligus menyaksikan pemenang Piala Malaysia 2010 dan 2012 itu disingkirkan daripada saingan Liga Super musim ini.

Kegagalan mendapatkan lesen itu disebabkan oleh tunggakan gaji musim lalu yang masih belum dilunaskan sehingga Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terpaksa menarik lesen pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.