Bekas pemain TRW Kelantan, Irfan Haikal Iffendi berkongsi memori pahit yang dialami oleh beliau dan rakan sepasukan sepanjang bergelar pemain pasukan itu.

Penjaga gol muda itu berkongsi pengalamannya bersama wartawan ternama, Zulhelmi Zainal Azam yang disiarkan di laman YouTube Astro Arena dimana beliau menceritakan detik sedih ketika menghadapi isu tunggakan gaji musim lalu.

Baca Juga:

“Pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan adalah apabila saya bersama rakan baik dan sebilik, Leonardo Rolon tidak mempunyai wang pada suatu hari dengan hanya kira-kira RM9 dimiliki kami.

TRW Kelantan
TRW Kelantan

“Saya berbincang dengan dia sebelum saya pergi ke kedai dan membeli makanan. Jadi, dengan duit tidak mencukupi, saya hanya beli nasi sebungkus dan kongsi bersamanya,” katanya.

Bekas penjaga gol Bawah 23 Tahun (B-23) itu sebelum ini pernah beraksi dalam skuad Piala MFL Kelantan FC sebelum diserap ke dalam skuad senior berikutan keputusan beberapa pemain yang meninggalkan kelab berkenaan.

Sepanjang 13 penampilan yang direkodkannya bersama pasukan utama, Irfan hanya mencatatkan satu ‘clean sheet’, iaitu ketika pasukannya itu meraih kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan pada Ogos lalu.

Ekoran masalah yang dihadapi, TRW Kelantan gagal memperolehi Lesen Kebangsaan sekaligus menyaksikan mereka tidak layak bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024-2025.

Keputusan ini dibuat kerana Kelantan gagal untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan dibawah sub-kriteria F.04 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At June) dan sub-kriteria F.11 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At August) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) telah bermesyuarat pada 16 Januari 2024 dan membuat keputusan bahawa rayuan kelab Liga Super Kelantan untuk memohon Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025 adalah ditolak selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Keputusan itu diumumkan kepada pasukan hari ini melalui pemakluman rasmi sekali gus menyaksikan Kelantan tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2024-2025.

Untuk rekod, Kelantan sebelum ini mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa AB berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2023 pada 1 Januari 2024.