Claudio Ranieri kini memulakan cabaran baharu dalam bola sepak Itali selepas dilantik sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan Itali.

Jawatan yang menyaksikan figura berusia 75 tahun itu akan berusaha mentransformasikan struktur skuad Azzurri serta meletakkan asas kukuh bagi mengembalikan kegemilangan mereka di pentas antarabangsa.

Sesuai dengan peranan baharunya, jurulatih berpengalaman itu tidak akan berada di tepi padang, sebaliknya akan menyelia projek pembangunan yang memberi tumpuan kepada melahirkan generasi baharu bakat bola sepak Itali.

Dengan pengalaman luas mengendalikan beberapa kelab terkemuka Eropah, Ranieri kini bakal menggerakkan perubahan besar dalam sistem pembangunan pemain muda dan percaya Itali perlu kembali mengutamakan kemahiran teknikal individu bagi membolehkan mereka bersaing dengan kuasa-kuasa besar bola sepak dunia.

Peranan Besar Claudio Ranieri

Antara objektif utama Claudio Ranieri sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan Itali adalah mengubah model pembangunan pemain di peringkat akar umbi.

Bagi beliau, bola sepak Itali terlalu menitikberatkan aspek taktikal sehingga mengabaikan kemahiran asas seperti menggelecek dan kawalan bola.

“Matlamat saya adalah untuk membuatkan penyokong kembali jatuh cinta dengan Azzurri dan memastikan kanak-kanak seperti cucu saya yang berusia 12 tahun, dapat menyaksikan Itali beraksi di Piala Dunia,” kata Ranieri menggambarkan visi jangka panjangnya menurut sumber laporan beIN Sports.

Menurut beliau, perubahan itu perlu bermula sejak di peringkat paling awal khususnya melibatkan pemain berusia antara 10 hingga 12 tahun.

“Kita sangat baik dari segi taktikal tetapi pasukan lain lebih hebat menggelecek. Kita memenangi kejohanan remaja kerana organisasi taktikal, namun kita perlu kembali memberi penekanan kepada kemahiran individu. Kanak-kanak perlu belajar bagaimana mengawal bola.”

Dalam masa sama, Claudio Ranieri mahu akademi bola sepak di Itali melahirkan lebih ramai pemain kreatif yang mampu memenangi situasi satu lawan satu di atas padang, satu kualiti yang menurutnya semakin berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Roberto Mancini dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Itali selepas cadangan untuk melantik Andrea Pirlo gagal dimuktamadkan susulan kaitannya dengan sebuah syarikat pertaruhan dari Rusia.

Sumber