Roberto Mancini dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Itali selepas cadangan untuk melantik Andrea Pirlo gagal dimuktamadkan susulan kaitannya dengan sebuah syarikat pertaruhan dari Rusia.
Mancini sebelum ini membimbing Itali muncul juara Euro 2020 yang ditangguhkan ke tahun 2021 akibat pandemik Covid-19 selepas menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final di Wembley.
Namun, beliau meletakkan jawatan dua tahun kemudian sebelum meneruskan karier kejurulatihan di Arab Saudi dan Qatar.
Bola sepak Itali terus dilanda krisis minggu ini apabila Andrea Pirlo menarik diri daripada jawatan ketua jurulatih manakala Paolo Maldini yang baru dilantik sebagai pengarah teknikal 16 hari sebelum itu turut meletakkan jawatan.
Leonardo, bekas pemain antarabangsa Brazil yang bertindak sebagai penasihat kepada Maldini, juga memilih untuk berundur selepas rundingan pelantikan Pirlo gagal dimuktamadkan.
Mancini, Ranieri Diberikan Tanggungjawab
“Saya merasakan individu paling tepat untuk menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan ialah Roberto Mancini, berdasarkan pelbagai pertimbangan,” ujar Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Giovanni Malago menurut sumber laporan The Times.
“Saya juga memerlukan seseorang untuk berbincang mengenai keputusan berkaitan pelantikan ketua jurulatih serta individu yang akan menggalas tugas sebagai pengarah teknikal. Orang itu ialah Claudio Ranieri.”
Claudio Ranieri, bekas pengurus Chelsea dan Leicester City akan mengisi jawatan yang ditinggalkan Paolo Maldini sebagai pengarah teknikal.
Sementara itu, bekas pemain tengah Itali, Gabriele Oriali dijangka dilantik sebagai pengurus pasukan yang akan bertindak sebagai penghubung operasi antara pemain dan barisan kejurulatihan.