Tahun lepas sewaktu travel solo, aku berpeluang melawat Auschwitz Concentration Camp yang merupakan salah satu kem tahanan yang juga menjadi pusat pembunuhan beramai-ramai Yahudi oleh tentera Nazi Jerman. Lokasi kem ini adalah di Poland.
Cuaca hari tu sangatlah sejuk dan berangin, mendung dan selalu hujan gerimis. Kami ditemani pemandu yang bercakap bahasa Inggeris dan tour ni berlangsung selama 3 jam setengah.
Aku saja nak kongsi apa yang aku belajar, ada keterangan dalam gambar di bawah yang mungkin akan bagi korang nightmare macam yang aku rasa lepas balik dari kem ni, jadi kalau korang jenis lemah semangat sila jangan teruskan.
Kepada yang bersemangat nak tahu, ayuh kita mulakan. Aku bercerita di setiap gambar di bawah mengikut kaitan. Jadi korang boleh baca info yang aku kongsikan selepas layan gambar.
“Arbeit Macht Frei” ataupun terjemahannya “Kerja Membebaskan” adalah salah satu penipuan yang besar oleh tentera Nazi Jerman masa itu. Ramai orang yang dihantar ke kem ni atas alasan relocation dan mereka dijanjikan dengan kerja (bagi sokongan perang) dan tempat tinggal yang baru selepas dijajah tentera Nazi Jerman.
Kebanyakan daripada mereka tak tahu pun agenda sebenar tentera Nazi Jerman maka mereka bawa suitcase dan barang-barang yang dirasakan perlu untuk membina hidup yang baharu.
Auschwitz I ni masih kecil berbanding Auschitz-Birkenau II. Dulu Auschwitz I merupakan berek polis Poland sebelum dijajah. Tentera Nazi Jerman mahukan suatu kawasan terpencil untuk pembunuhan besar-besaran kaum Yahudi dan kaum lain yang dirasakan tidak semulia bangsa Aryan ketika itu untuk memulakan Lebensraum bagi mereka.
Auschwitz-Birkenau II (AB II) pula dibina selepas Auschwitz I (A I) dibuka untuk mempercepatkan proses pembunuhan dan kerana A I terlalu sesak ketika itu. Macam yang boleh dilihat dalam carta di atas, mangsa utamanya kaum Yahudi.
Kalau korang boleh tengok dalam bekas gelas tu ada abu. Abu ni merupakan abu mangsa genosid di A I dan memorial ini dibina untuk memperingati kedahsyatan kekejaman tentera Nazi Jerman (NJ).
Sebab mereka nak hapuskan bukti jenayah yang telah dilakukan, maka mangsa yang dibunuh melalui keracunan gas atau seksaan yang lain akan dibakar dan seterusnya abu tu akan dibuang ke dalam tasik atau dijual ke syarikat yang menjual baja.
Kumpulan pertama yang ditangkap tentera NZ adalah golongan yang berpendidikan. Antaranya seperti para guru, peguam, doktor dan juga artis (seni lukis). Mereka yang ditangkap ini dibawa dalam kereta api dalam keadaan sesak.
Perjalanannya kadang-kadang sangat panjang, kekurangan makanan dan dalam kereta api tu selalunya tiada tingkap dan tandas jadi ramai yang mati sebelum sampai ke kem Auschwitz disebabkan kotor (najis merata-rata) dan kebuluran. Kadang-kadang sebab sesak nafas pun ada sebab terlalu ramai disumbat dalam gerabak yang kecil.
Ini data yang dianggarkan. Bagaimana pula mangsa yang tak direkod? Mungkin jumlahnya lebih besar. Dan tengoklah ada yang diambil dari negara-negara yang cukup jauh dari Poland, misalnya Greece dan Itali. Sebab tu ramai yang mati sebelum sampai ke kem.
Ini model gerabak kereta api yang digunakan untuk membawa mangsa. Tak ada tempat duduk, tiada tandas dan berhimpit dengan orang ramai serta barang-barang yang dibawa.
Kalau korang boleh tengok lelaki dalam bulatan biru tu doktor NJ. Dia ditugaskan untuk memilih orang yang sihat dan boleh bekerja untuk dijadikan hamba bagi menyokong industri perang pihak NJ.
Mereka ada 2 pilihan. Kalau pergi ke kanan, macam yang ditunjukkan dalam gambar, itu bermaksud tawanan akan mati. Kebanyakan yang dijatuhkan hukuman mati adalah golongan emas, kanak-kanak, OKU, wanita mengandung dan wanita dengan anak kecil. Kalau pergi ke kiri, dia akan hidup tetapi akan dijadikan hamba perang.
Ini antara gambar kanak-kanak yang dijatuhkan hukuman mati. Liciknya NJ ni hinggakan pada masa tu tak ada tahu pun apa yang akan terjadi. Mangsa hanya tahu mereka tak diambil bekerja.
Ini peta bagi kem tahanan terbesar pihak NZ. Kenapa pilih Poland? Sebab negara ni antara jiran terdekat Jerman dan agak dekat dengan ibu pejabat mereka di Berlin. Jadi lokasi ni memudahkan mereka melakukan kerja-kerja jahat.
Ini antara gambar haram yang ditangkap secara senyap oleh salah seorang tawanan yang bertugas untuk membakar mayat atau menghapuskan bukti pembunuhan. Penangkap gambar ni dipercayai dilakukan oleh salah seorang ahli penentang yang terlibat untuk menyebarkan berita tentang kekejaman yang berlaku di kem ni agar akan ada pihak yang akan menyelamatkan mereka.
Usaha penyebaran maklumat berlaku dari awal penubuhan kem ni tapi ramai pihak yang tahu (contohnya Amerika dan sekutu) hanya berdiam diri. Jika mahu memang mereka boleh membantu sebab Amerika ada bom kilang fabrik yang berdekatan dengan kem Auschwitz. Jadi masakan mereka tak tahu bangunan berdekatan? Sehinggalah akhirnya tentera Soviet berjaya menakluk Poland dan semua tahanan kem mula dibebaskan.
Ini model gas chamber di A I. Pada bahagian pertamanya adalah bilik persalinan. Biasanya orang-orang yang dihantar ke sini ditipu dengan janji mereka dapat mandi jadi bilik ni dibina seakan-akan tempat mandi dan para tawanan akan menanggalkan pakaian dan semua barang peribadi mereka sebelum dihantar ke gas chamber.
Kemudian mereka akan dihantar ke bilik yang mengandungi gas beracun iaitu Zyklon B untuk dibunuh beramai-ramai. Bilik ni tertutup dengan hanya ada serombong api di atas yang digunakan untuk menyebarkan gas tersebut.
Ramai yang mati dalam 2-3 minit selepas menghidu dan ada juga yang masih hidup walaupun selepas 20 minit menghidu gas tersebut. Namun, yang masih hidup akan ditembak dan mereka semua akan dihantar ke tempat pembakaran. Barangan peribadi mereka akan diambil bagi kegunaan peperangan.
Ini antara bekas tin yang mengandungi pepejal Zyklon B sebelum dibuka dan gas dibebaskan. Tentera NJ tak sempat memusnahkan banyak bukti sebelum melarikan diri jadi kebanyakan bukti ni diperoleh daripada A I manakala banyak tempat dibom di AB II, misalnya tiga gas chamber di sana.
Inilah bentuk pepejal Zyklon B sebelum mengeluarkan hydrogen cyanide apabila didedahkan dengan air dan haba. Zyklon B ni sebenarnya racun serangga yang sangat merbahaya.
Ini peta antara kedua-dua kem. Dulu tak ada landasan kereta api antara kedua-dua kem ni sewaktu ia mula ditubuhkan tapi pihak NJ nak mempercepatkan proses pembunuhan jadi dia paksa hamba buruh di kem untuk membina landasan kereta api yang menghubungkan dua tempat ni.
Kalau perasan ada kotak warna kuning dan warna merah tu diberi nama gudang Kanada oleh tawanan sebab semua harta bernilai tawanan diletakkan di gudang tersebut, maka tawanan menggelarnya Kanada kerana tempat itu “kaya dan ada segala-galanya”.
Kemudian kami masuk ke berek yang mengandungi bukti-bukti jenayah tentera NJ dan ada satu tingkat yang tidak dibenarkan untuk diambil gambar. Di tingkat tu mengandungi 2 tan rambut mangsa (perempuan dan lelaki).
Semua tawanan perlu memotong rambut mereka sebelum masuk ke kem dan rambut tu kemudiannya akan dijual ke kilang fabrik bagi menjana ekonomi perang tentera NJ. Tingkat ni jugalah yang menghantui aku 2 malam berturut-turut.
Gambar di atas adalah cermin mata mangsa.
Jubah ibadah kaum Yahudi.
Ini suitcase yang dibawa mangsa kerana menyangka mereka akan tinggal dan bekerja di tempat baru. Kebanyakan barangan mereka kemudiannya dirampas pihak NJ dan digunakan atau dibuang mengikut kegunaan barang yang dibawa.
Periuk dan pinggan mangkun yang dibawa para ibu sebab mereka ingat nak pindah rumah.
Berus gilap kasut.
Kemudian kami masuk ke berek yang memperlihatkan keadaan hidup dan taraf kebersihan tawanan ketika itu. Yang tengah bercakap dalam gambar tu guide kami.
Kebanyakan daripada tawanan tidur bersesak-sesak atas jerami ni saja. Tanpa mengira cuaca, tiada penghawa dingin mahupun pemanas. Kadang-kadang cuaca bilik ni boleh mencecah sehingga -20°c pada musim sejuk.
Tawanan hanya diberi uniform yang berbelang biru cair dan putih, kadang-kadang ada kasut, kadang-kadang tak ada kasut. Kalau ada kasut pun, mereka diberi terompah kayu yang diikat dengan tali dan dipaksa bekerja berbelas-belas jam sehari tapi hanya diberi makan sekali sehari.
Pada mulanya tawanan diambil gambar semasa mula memasuki kem dan diberi nombor untuk memudahkan tujuan pengiraan pihak NJ. Namun selepas keadaan hidup yang menyeksakan, ramai yang berubah rupa fizikalnya sampai sukar dikenali jadi pihak NJ memperkenalkan sistem tatu pada badan yang lebih kekal dan mudah dikesan.
Tandas ini dicipta selepas setahun kem ni dibuka dan tawanan hanya diberi peluang 2 kali selama 10 minit sahaja dalam sehari untuk menggunakannya.
Disebabkan keadaan makanan yang teruk (kebanyakan roti dan bubur dimasukkan habuk kayu atau benda yang tak boleh dimakan) maka ramai tawanan yang menghidap sakit perut dan cirit-birit.
Disebabkan peraturan yang terlalu ketat dan tandas yang sikit tapi orang yang ramai, ramai yang tak sempat masuk ke tandas dan akhirnya berak merata-rata. Akibatnya, banyak penyakit berbahaya seperti cholera merebak dan membunuh tawanan.
Tiada istilah privasi bagi tawanan jadi tandas ni terbuka. Pihak NJ sengaja buat begini untuk memalukan tawanan.
Ini pula tempat mandi atau membasuh para tawanan. Kebanyakan daripada mereka hanya berpeluang untuk mandi sekali selang beberapa minggu atau beberapa bulan. Begitu juga untuk membasuh pakaian.
Antara tawanan ni ada yang mempunyai jawatan sebagai penyelia (Block Elder atau Capo) bagi tawanan perang yang lain. Disebabkan mereka ni penyelia, jadi mereka ada kuasa untuk memberi arahan atau untuk menyeksa tawanan yang lain.
Mereka juga mempunyai taraf hidup yang lebib selesa berbanding tawanan lain. Kebanyakan yang jadi penyelia ni terdiri daripada penjenayah Jerman dan mereka ni biasanya sangat sadis.
Disebabkan salah satu tugas mereka adalah untuk membahagikan makanan antara tawanan, maka lazimnya mereka akan ambil lebih untuk mengenyangkan perut sendiri dan tawanan lain akan lebih kebulur disebabkan kekurangan makanan.
Ini antara gambar kembar yang dibunuh di kem ni. Sepanjang koridor ni berderet gambar tawanan yang dibunuh di sini. Semuanya memakai uniform belang yang sama.
Selain daripada eksploitasi tenaga buruh dan barangan milik tawanan, terdapat eksperimen manusia yang dijalankan di sini. Salah satu daripada eksperimen tersebut adalah terhadap pasangan kembar yang dilakukan oleh Dr Josef Mengele.
Ramai kembar yang terbunuh disebabkan eskperimen ini dan ironinya, hospital dijadikan tempat untuk melakukan eksperimen dan bukan untuk merawat.
Kebanyakan tawanan ni akan diberikan pengenalan yang berbentuk segi tiga pada dada sebelah kanan mereka untuk membezakan sama ada seorang Yahudi, (selalunya ada dua segi tiga yang membentuk bintang, simbol agama Yahudi), dari negara mana (P dalam bulatan untuk Poland) dan ada juga untuk kenal pasti sama ada tawanan homoseksual atau tidak.
Inilah yang ingin aku kongsikan. Bagaimana tahap kekejaman Nazi terhadap tahanan di sini. Apa yang telah berlaku boleh dijadikan teladan dan pengajaran. Sesungguhnya sesiapa saja di dunia ini berhak hidup aman tanpa perang dan sengketa.
Baca lagi: Travel Ke Latvia Temukan Aku Dengan Penjara Sadis Di Sebalik Apartment Mewah