Misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria di bawah MyCorps ke Timur Tengah baru saja tamat. Saya yakin berbagai cerita yang telah dibawa oleh 44 orang peserta sukarelawan yang telah dihantar menyertai misi ini.
Kali ini saya berpeluang mendapatkan kisah daripada salah seorang sukarelawan iaitu Mohamad Ridhwan Bin Mohd Rahim. Menurut pemuda berusia 27 tahun dan masih bujang ini, beliau mula berminat untuk menyertai misi bantuan anjuran MyCorps sejak daripada pelancaran misi 1 dan 2 di Kemboja.
Sudah terdedah kepada kerja-kerja sukarelawan sejak 12 tahun lepas, pemuda berkelulusan Diploma in Physiotherapy ini berkata, “saya amat berharap untuk di beri peluang menyertai misi seterusnya dan alhamdulillah rezeki nama saya terpilih dikalangan 1110 anak muda di Malaysia untuk misi ke Timur Tengah yang pertama kali diadakan.”
Bersama 10 lagi rakan sepasukan lain, Ridhwan telah dihantar ke Gaziantep yang merupakan salah satu daripada 81 negeri di Turki. Pusat pelarian Gaziantep yang bersempadan dengan Syria ini merupakan laluan bagi pasukan bantuan kemanusiaan menghantar bantuan. Ikuti temubual dan perkongsian Ridhwan pengalaman suka suka beliau sepanjang berada di Turki.
Perasaan bila pertama kali tiba ke kem pelarian
Menurut Ridhwan, perasaan beliau bercampur antara teruja dan sedih. Teruja kerana dapat bertemu pelarian mangsa perang yang selama ini hanya dilihat melalui laporan media, dan kini beliau akan bersama dengan mereka. Namun jauh di sudut hati Ridhwan turut bersedih bila mengenang nasib rakyat Syria yang dulunya hidup aman damai di negara mereka kini terpaksa menjadi pelarian di negara asing.
Keadaan di kem pelarian
Bila ditanya keadaan dan suasana di kem pelarian, ujar Ridhwan, “Bagi di Turki, kem pelarian terbahagi kepada 2 iaitu yang dibina oleh kerajaan dan juga NGO. Kelengkapan yang disediakan kerajaan adalah sangat selesa. Rumah kontena, pendidikan, wang saku, insurans, makanan, hospital, dan peluang pekerjaan diberikan kepada para pelarian.”
Namun menurut Ridhwan, kem pelarian di bawah NGO kecil pula mengalami kekurangan bantuan. “Saya banyak juga menyampaikan bantuan kepada ‘urban refugees’ yang mana mereka mengalami masalah dalam dokumentasi.”
Daripada pemerhatian terus Ridhwan juga, para pelarian di kem pelarian NGO terpaksa melakukan apa saja kerja demi mendapatkan rezeki halal. “Mereka mencari rezeki dengan mencari sisa sampah untuk dijual, meminta sedekah, mengambil upah mencuci rumah dan sebagainya dan kadang kala pendapatan atau upah tak seberapa.”
Ini disebabkan kebanyakn pelarian ini tidak saf taraf atau kehilangan kad menyebabkan banyak majikan yang mengupah mereka mengambil kesempatan dengan membayar kadar upah yang rendah.
“Saya dan kumpulan ada menjalankan ‘Misi Selimut’ untuk menyantuni pelarian di Sanliurfa yang mana komuniti ini berada di atas bukit dan tinggal dalam batu bukit yang sejuk, tidak sempurna bekalan air malah ada yang mengalami masalah kesihatan akibat jangkitan.”
Setelah melihat sendiri keadaan para pelarian ini, Ridhwan dan kumpulannya telah melancarkan kutipan derma kilat di media sosial khas untuk melakukan transformasi ke atas ‘Pusat Transit’ yang terdapat di kem pelarian. Pusat Transit ini merupakan tempat yang disediakan bagi merawat pelarian Syria yang sakit dan cedera, dan telah berjaya dibawa masuk ke Turki.
“Pusat ini menyediakan tempat tinggal dan makan tengahari sahaja. Apa yang menyedihkan pusat ini tidak dapat beroperasi dengan sempurna malah mempunyai bil-bil yang tertunggak.
Jadi kumpulan kami melakukan kutipan derma kecemasan dikalangan kenalan untuk menjelaskan bil tertunggak dan apa yang kami bersyukur apabila ada penderma dari Australia menghulurkan 1K AUD.”
Menurut Ridhwan, projek yang telah mereka jalankan sepanjang di Turki terbahagi kepada 2 iaitu:
1. Big Project Darul Istiqfa – di mana para sukarelawan menyediakan bilik physiotherapy, bilik rawatan, ruang bermain dan juga kelas untuk kanak-kanak pelarian belajar.
2. Projek kecil – menyediakan kelengkapan meja dan kerusi untuk tadika, sumbangan buku dan duit untuk University El-Zehra yang merupakan universiti untuk Syria, Sultan Ulamak yang menjadi tempat kaum wanita belajar bahasa Inggeris, mengadakan ‘Fun Day’ dan ‘Buger Day’ di rumah Anak Yatim Dar Salam.
‘Blanket Mission’ di SanliUfra, Urban Refugees Mission (food basket), Street Hygine (ketip kuku dan cuci tangan), Winter Cloth Mission, Sumbangan Duit kepada anak yatim dan guru yang kematian seluruh ahli keluarganya dan sekolah daif.
Sambutan dan penerimaa pelarian Syria kepada para sukarelawan
Mereka sangat mengalu-alukan kedatangan kami malahan sangat gembira. Sepanjang berjumpa dengan pelarian kami dilayan dengan baik dan diraikan. Walahal mereka sendiri serba kekurangan, ini budaya yang banyak kami jumpa sepanjang di Turki. Mereka sanggup berkongsi makanan dan juga masak juadah traditional mereka.
Ujar Ridhwan lagi, mereka tidak sampai hati untuk menerima pelawaan dan jemputan daripada pelarian, adakala cuba menolak tetapi tetap dipaksa kerana ia dianggap rezeki dan akan menjadi aib kepada tuan rumah jika menolak.
Bagaimana pula penerimaan masyarakat tempatan di Turki terhadap kehadiran para sukarelawan
“Penerimaan masyarakat tempatan terhadap kami adalah sangat terbuka dan mesra. Ada juga yang bertanyakan apa tujuan datang ke sana dan apabila di jelaskan mereka sangat gembira dengan niat kami.”
Namun menurut Ridhwan, ada juga beberapa insiden di mana para sukarelawan termasuk beliau sendiri telah disoal siasat oleh pihak keselamatan. Antara soalan yang kerap ditanya, apa tujuan ke negara mereka.
Selain daripada itu ada dikalangan para sukarlawan dituduh cuba mengebom masjid. Nasib menyebelahi mereka kerana surat dan ID NGO Turki banyak membantu dan menjelaskan tujuan serta misi mereka.
“Setiap seorang daripada kami dibekalkan surat yang menyatakan tujuan kami ke sini dalam bahasa Turki. Kebanyakan warga Turki tidak tahu berbahasa Inggeris. Englizia Yok, Arabcha Yok. Semua tak tahu. Haha.
Baca: Antara Semangat Dan Kemanusiaan, Inilah Yang Saya Rasai Selepas Melihat Ini
Tugas khas yang dijalankan sepanjang misi
Sebagai seorang fisioterapi, Ridhwan ditugaskan memberi bantuan pemulihan fisioterapi dan juga tugas yang berkaitan dengan kanak-kanak. “Di sini saya merangka, menyusun dan menyiapkan sebuah bilik pemulihan fisioterapi yang dilengkapi peralatan rawatan yang lengkap.”
Kem ini langsung tidak mempunyai bilik pemulihan. Rawatan kepada pelarian hanya dijalankan di ruang terhad dan penuh dengan katil. “Dengan adanya bilik ini ia dapat mengurangkan kos pengangkutan ke hospital. Para pelarian yang kebanyakannya merupakan mangsa pergolakan dan cedera anggota badan seperti hilang tangan, kaki malah kecacatan wajah yang kekal dapat menjalani latihan pemulihan dengan kerap.”
‘Play space’ dikhaskan untuk pendidikan dan aktiviti kanak-kanak yang tidak bersekolah. Manakala bilik darjah disediakan untuk kelas Bahasa Inggeris kepada pelarian sama ada penghuni mahupun yang tinggal di sekitar.
Di bilik rawatan pula mereka telah menyusun semua ubatan dan kelengkapan serta menambah peralatan. Bahasa di kotak ubat juga ditukar daripada Bahasa Turki ke Bahasa Arab. Darul Istiqfa kini berwajah baru hasil sentuhan bersama para sukarelawan dan para pelarian.
Cabaran sepanjang jalankan misi
Cabaran paling besar yang saya alami adalah sewaktu pertama kali disoal siasat oleh SB di Attartuk International Airport berserta 3 lagi rakan manakala yang lain terlepas kehadapan terlebih dahulu. Kami disoal apakah tujuan datang ke Turki.
Dalam perjalanan misi sepanjang di sana selama 2 bulan, kami sudah lali dengan sekatan jalan dan soal siasat oleh polis, jandarma atau tentera. Ya pasti ini adalah proses biasa dan sebahagian daripada langkah keselamatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan disebabkan konflik dalaman dan serangan bom yang telah beberapa kali berlaku di negara ini.
Walaupun pada permulaanya kami agak tertekan. Lama-lama ia menjadi kebiasaan. Di akhir projek sewaktu kami hendak ucapkan selamat tinggal kepada penghuni pusat rehab tiba-tiba kumpulan kami diserbu oleh pihak berkuasa atas laporan dari penduduk sekitar yang curiga kerana melihat kami keluar masuk ke pusat tersebut.
Setelah diperiksa diambil butiran passport, nombor telefon dan gambar muka, kami disoal dan kemudiannya menanti keputusan. Siapa tak berpeluh bila diserbu sebegini malah terlalu lama ditahan.
Yang hairanya hanya kami warga Malaysia sahaja disoal. Selepas semuanya ‘clear’ barulah kami dilepaskan. Syukur lega. Apa yang saya masih diingat sepanjang ditahan kami sekumpulan masih lagi sempat buat lawak, senyum-senyum dan jemput polis tu datang melawat Malaysia hahaha. Masa mulanya polis agak marah dan serius lama kelamaan mereka mula senyum pada kami.
Kenangan tak dapat dilupakan sepanjang misi
“Kenangan tak dapat saya lupakan yang mana kami satu-satunya kumpulan rakyat MALAYSIA berada di sempadan Rehantly. Di sini kami menyambut kedatangan pelarian Syria masuk ke Turki. Ia merupakan sambutan yang luar biasa dan sangat meriah. Mereka berkonvoi beramai-ramai.”
Bagi bagi Ridhwan merupakan satu pengalaman baru bukan hanya bagi beliau tetapi juga kepada seluruh ahli pasukan sukarelawan. “Bendera negara kita mendapat perhatian ramai dan ini ternyata kita berada di mata dunia. Tambahan pula traveller seharusnya menjadi duta kecil yang terbaik untuk negaranya.”
Bendera Jalur Gemilang berkibaran di Sempadan untuk menyambut kedatangan pelarian.
Pengalaman manis
Pengalaman manis sepanjang misi pastinya apabila kita melihat senyuman kegembiran dan rasa syukur jelas tergambar di setiap wajah para pelarian yang menerima bantuan. Dan apa yang saya impikan dapat dilaksanakan dan disampaikan kepada pelarian. Selain meyantuni pelarian saya juga dapat mempelajari budaya, bahasa, makanan dan juga sejarah Turki yang sangat hebat.
Pengalaman ngeri
Pengalaman lain yang tak dapat dilupakan semasa kami menyusuri Cappadocia untuk ke Angkara yang mana kami akan bermesyuarat dengan NGO di bawah kerajaan Turki. Kejadian pada jam 4 pagi van yang kami naik tersalah masuk ke laluan yang dipenuhi salji yang tebal dan licin yang dibawahnya cerunan curam.
Pemandu mengejutkan kami semua dan arahkan untuk keluar dan tolak van namun tidak berjaya dan van semakin mengelonsor. Lalu yang perempuan seramai 7 orang diarahkan naik untuk beratkan bahagian belakang agar tayar dapat mencengkam kepada jalan yang licin.
Dan kami yang lelaki seramai 4 orang menolak dari belakang. Suhu ketika itu 2°C pastinya sejuk mengengkam ke tulang putih. 1,2,3 tolak 1,2,3 tolak. Van sedikit gelincir dan kami tolak lagi. Tangan dan jari mula kebas, pernafasan di muka terasa nipis dan penat. Setiap kali kami tolak dari belakang ada yang jatuh akibat licin.
Akhirnya kami berjaya naik kembali ke atas dengan selamat. Jika tidak pantas mungkin kami semua jatuh ke cerunan curam.
Manakala semasa di akhir misi kami kembali ke Istanbul untuk bertemu dengan perwakilan pelajar Malaysia di Turki (MASAT). Sehari sebelum pulang saya dan rakan keluar membeli plastik pembalut untuk balut beg kumpulan.
Kami ditarik ke lorong terpencil dan disamun hampir 1100 Lira. Kejadian berlaku antara Topkapi atau Bosphorus. Ia bakal menjadi antara kenangan yang akan saya ingat selamanya.
Perubahan positif ke atas diri selepas sertai misi
Perubahan positif yang saya dapat adalah keyakinan kepada diri untuk terus bergiat dalam bidang kemanusiaan. Sebelum ini saya tiada keyakinan dalam bidang ini, apatah lagi untuk sertai kerja-kerja sukarelawan dalam skala yang besar.
Sewaktu dalam latihan saya banyak didedahkan dengan perundangan antarabangsa, apa itu pelarian,apa itu kemanusiaan dan apa yang boleh kita bantu serta tolong.
Dengan pengalaman sebelum ini dan pengalaman yang saya perolehi dalam MyCorps, secara langsung ia telah menjadikan saya seorang insan yang lebih yakin untuk terus kehadapan dalam misi kemanusiaan.
Jangan ingat bila kita tidak punya wang yang banyak maka tidak mampu menolong orang lain. Banyak lagi cara kita untuk terlibat dalam misi kemanusiaan.
Perasaan sebelum tinggalkan kem pelarian
Perasaan saya sangat sedih. Sepanjang 2 bulan di sana kami bersama-sama mentranfomasikan pusat tersebut, makan dan minum bersama, malah meyantuni keluarga susah yang lain bersama sedangkan mereka itu juga pelarian. Apa yang mereka makan itu juga kami makan.
Perancangan masa depan
InsyaAllah saya bersedia jika dihantar lagi untuk misi kedua di Timur Tengah. Kerana masih ada hajat yang tertunggak untuk saya lakukan. Mulai sekarang saya sudah jalankan kutipan dana untuk pelarian di sana. Saya masih belum puas untuk berbakti dan belajar erti pelarian bersama masyarakat Syria di Turki
Sumber inspirasi yang diperolehi di kem pelarian
Sumber inspirasi pastinya ‘kecekalan, ketabahan & kekuatan’ yang saya lihat pada ibu tunggal dan anak-anak yatim yang kehilangan ketua keluarga mahupun kesemua ahli keluarga. Setiap penceritaan tiada air mata yang mengalir. Malah di kalangan mereka mengatakan aku bertuah diuji dan gembira keluargaku syahid.
Bayangkan seorang anak yatim berumur 7 tahun sudah berkata sebegitu. Manakala saya melihat ketabahan anak pelarian Syria yang diwaktu pagi dan petang mereka bekerja manakala di waktu rehat selama sejam 30 minit, anak-anak ini berlari ke sekolah berhampiran untuk belajar hadis dan menghafal al Quran. Gigihnya anak-anak ini bekerja untuk menyara keluarga.
Pesanan kepada pembaca Vocket
Pesanan saya kepada semua anak muda, dalam setiap travel kita selitkan sedikit sumbangan kepada mereka yang memerlukan. InsyaAllah berlipat ganda rezeki kita di kemudian hari. Bagi yang berminat anda boleh layari FB page MYCorps, MYCorps Middle East, MYCorps Cambodia, Twiter YB KJ.
Untuk tahun ini akan dijalankan 3 misi iaitu misi ke Bangladesh, Sri Lanka, Laos dan pastinya ke Timur Tengah. Bagi anak muda yang ingin menabur bakti boleh sentiasa ikuti update yang akan diumumkan oleh YB KJ.
Baca lagi: Bagaimana Travel Cara Backpacking Dorong 3 Anak Muda Ini Sertai Satu Misi Besar